Hentikan serangan ke atas Aleppo

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk serta mendesak dihentikan serangan ke atas bandar Aleppo di Syria terutama bahagian utara Aleppo yang dikuasai pihak pembangkang.

Serangan ke atas Aleppo mengakibatkan korban nyawa yang tinggi, jumlah kecederaan yang ramai, kemusnahan tempat tinggal dan harta benda dalam skala yang besar yang boleh ditakrifkan sebagai satu jenayah perang yang sangat serius.

DPPM merasakan perlu dihentikan serangan ke atas Aleppo terutamanya bahagian utaranya dengan menghormati gencatan senjata yang dipersetujui oleh kedua belah pihak di antara Kerajaan Bashar Al-Assad dan pihak pembangkang di Geneva pada penghujung Februari lalu yang disokong oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).  

Selain menghentikan segala serangan, segala jenis bantuan kemanusiaan perlu diberi kepada penduduk Aleppo yang sememangnya sangat memerlukan keperluan asas yang musnah akibat perang.

Dengan gelombang pertama perang yang sudah hampir lima tahun berlaku, hampir tiga juta rakyat Syria menjadi pelarian serta kemusnahan nyawa serta harta benda yang cukup besar.

Selepas dicabuli gencatan senjata yang dipersetujui, serangan kali ini benar-benar melumpuhkan bahagian utara bandar Aleppo.

Hampir 12,000 keluarga masih terperangkap dengan anggaran seramai 350,000 hingga 400,000 orang berada di sana. Jika keadaan berterusan, tentunya korban yang lebih besar akan berlaku akibat serangan bertali arus ini.

DPPM mendesak campurtangan OIC serta Pertubuhan Negara-Negara Arab dalam konflik yang paling buruk melanda Syria dekad ini.

Walaupun dengan gencatan senjata naungan PBB serta di sokong oleh Amerika Syarikat dan Russia, hasilnya tampak kabur serta seolah-olah tidak nampak jalan penyelesaian.

Peranan Russia juga amat diragui dalam proses gencatan senjata ini kerana Russia juga terbabit dalam membekalkan kelengkapan persenjataan kepada Regim Bashar Al-Assad serta turut sama menyerang kedudukan bandar tersebut.

Dengan hampir keseluruhan bahagian utara Aleppo lumpuh termasuk hospital serta kemudahannya hampir musnah, tiada apa lagi yang boleh dilakukan oleh kebanyakan penghuninya melainkan lari meninggalkan bandar tersebut namun masih ramai yang terperangkap.

Dengan serangan yang tidak henti-henti serta peperangan yang meletus di segenap ceruk bandar tersebut, jumlah korban akan terus meningkat serta akan mengakibatkan kemusnahan yang cukup besar jika tidak dilakukan sesuatu untuk menghalang peperangan tersebut dari terus menagih korban.

DPPM mendesak Kerajaan Malaysia terutamanya sebagai salah satu negara anggota Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar memainkan peranan penting dalam mendesak agar serangan tersebut dihentikan serta merta.

Keadaan mendesak ini perlu disegerakan agar Aleppo tidak menjadi seperti Palestin yang sudah dijarah serta ditindas oleh regim Zionis Israel sekian lama.

Palestin harus dijadikan contoh agar tindakan zalim serta tidak berperikemanusiaan ini dihentikan segara agar penduduk Aleppo tidak terus ditindas dan dizalimi berterusan.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 4/5/2016

Share on Myspace