Jentera tempatan lonjak kemenangan PAS

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUCHING: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menaruh keyakinan tinggi bahawa penerimaan rakyat terhadap PAS bakal meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.

Ini kerana, katanya pada pilihan raya kali ini PAS mempunyai ramai petugas parti dalam kalangan anak tempatan.

Menurutnya, gerak kerja kempen jentera pilihan raya parti berjalan dengan baik serta menunjukkan perkembangan positif rakyat.

“Malam ini kami mendengar laporan terakhir daripada Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 Sarawak. Persiapan terakhir sebelum pilihan raya pada hari Sabtu, 7 Mei ini.

“Dari segi gerak kerja jentera pilihan raya dan perjalanan kempen parti, Alhamdulillah berjalan dengan baik dan perkembangan sangat positif.

“Ini kerana, kita telah kali ketiga pilihan raya di Sarawak ini. Kita dapati kita telah mencapai kemajuan lebih daripada pilihan raya yang lalu.

“Apa yang pentingnya, kita (PAS) mempunyai petugas-petugas, anak-anak tempatan dengan jumlah yang lebih besar dari sebelumnya,” ujarnya pada sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak, di sini, malam tadi.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, perkembangan positif PAS pada kempen pilihan raya kali ini bakal meraih kemenangan kelak.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata PAS bakal meraih kemenangan di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Sarawak.

Justeru, kata beliau PAS akan mempertingkatkan kempen parti bagi mendekati para rakyat hingga hari mengundi.

“Alhamdulillah, dengan kemajuan kita telah meningkat dari segi persiapan yang telah kita buat dan kemajuan yang telah kita capai. Walaupun masih ada beberapa perkara yang perlu kita selesaikan.

“Ini telah memberi gambaran yang positif untuk kita capai sebagai kemenangan di Sarawak. Kemenangan yang pertama dan itu bukan satu Dun, mungkin dua Dun, tiga Dun atau lebih lagi.

“Berdasarkan keputusan yang kita ambil dan mengarahkan supaya peningkatan itu akan terus dilakukan dan sehinggalah kita akan mencapai pada hari mengundi,” jelasnya.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Presiden PAS selaku Pengarah PRN Sarawak, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - HARAKAHDAILY 4/5/2016

Share on Myspace