BN layan rakyat Sarawak umpama setinggan

IZWAN ABDUL HALIM | .

MIRI: Kerajaan BN melayan rakyat Sarawak umpama setinggan ketika berhadapan pemaju setiap kali menyelesaikan hak berkaitan tanah.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, kerajaan akan lebih mengutamakan pemaju dari rakyat yang menuntut hak.

Demikian itu menurutnya, seruan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem untuk menyatukan penduduk hanyalah kenyataan politik semata-mata.

"Sudah lebih 50 tahun BN memerintah, kalau benar hendak satukan rakyat adalah dengan menjamin mereka hidup.

"Miliki tanah sendiri, tetapi ramai peribumi yang merupakan penduduk asal tidak dibela," bidasnya pada Sidang Media Khas di Pejabat PAS Kawasan Miri, di sini semalam 3 Mei.

Terangnya, walaupun kerajaan ada mengumumkan projek perumahan di bawah skim PR1MA tetapi rakyat tetap tidak mampu memilikinya.

Masalah utama jelasnya, adalah kerajaan tidak mengawal harga-harga rumah yang dibina sesuai dengan kemampuan rakyat.

Sementara itu beliau yang juga calon PAS N.74 Pujut memaklumkan, akan menubuhkan Jawatankuasa Perpaduan Bangsa.

Jelas Jofri, jawatankuasa itu bertujuan membina hubungan khususnya dengan persatuan-persatuan pelbagai bangsa.

"Tujuan kita supaya sesama bangsa dapat hidup lebih aman damai. Kita tidak mahu isu perkauman wujud. Media tertentu ada mainkan sentimen perkauman dan agama.

"Secara dasarnya kita di Miri pelbagai kaum ini tidak ada masalah hidup sekali. Tetapi penubuhan jawatankuasa ini bertujuan untuk lebih merapatkan," terangnya.

Katanya, PAS membawa mesej kesejahteraan yang membawa pengertian keamanan dan keharmonian untuk semua.

PAS tegasnya datang menyatukan penduduk dari pelbagai latar belakang berbeza, bukan memecahkan masyarakat. – HARAKAHDAILY 4/5/2016

Share on Myspace