Jelajah Sabah, ‘beliau’ harap PAS berjaya di Sarawak

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

SELESAI lima negeri, Sabah adalah negeri ketujuh jelajah Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan Parti Islam Se-Malaysia LKKP Pusat dalam sesi 2015-2017. Selain merapatkan tali ukhuwah antara penggerak-penggerak LKKP di seluruh Negara, tujuan utama jelajah LKKP ini ialah menerangkan hal-ehwal terkini perjalanan lajnah.

Berkebajikan yang dinyatakan di dalam Islam perlu difahami sejelasnya agar gerak kerja dalam membudayakan politik matang dan sejahtera berjalan lancar. Nilai kebajikan yang lebih dari sekadar memberi perlu disebar luas agar Islam sebagai rahmat untuk semua lebih dapat diserlahkan.

Perjalanan jelajah kami bermula pada petang sabtu 30 April sebaik tibanya di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Program pertama jelajah dimulakan dengan program jalinan ukhuwah antara pasukan LKKP Pusat yang diketuai oleh Dr. Rosni Adam bersama penggerak-penggerak PAS Sabah pada sebelah malam.

Kehadiran pengerusi LKKP Pusat yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat amatlah memberi makna kepada penggerak-penggerak PAS Sabah dalam himpunan persaudaraan yang diadakan di Pasti al-Falah, Keningau malam itu. Pertemuan santai itu cukup menjadi pembakar semangat buat penggerak LKKP Sabah untuk persediaan retreat sehari LKKP Sabah keesokan harinya.

Retreat LKKP Sabah yang diadakan di Taman Banjaran Crocker kami mulakan pada jam 9:30 pagi Ahad yang berlarutan hingga ke jam 4:00 petang. Retreat LKKP Sabah bersama LKKP Pusat kali kedua ini lebih
kepada memperkemas gerak kerja LKKP dalam membantu parti memacu agenda negara berkebajikan.

Selesai retreat  yang diadakan sebelah siang, program turun padang diteruskan pada sebelah malam. selesai saja solat Isyak, kami terus ke Hospital Besar Keningau untuk program agihan makanan.

Program yang turut disertai oleh pengerusi LKKP Pusat dan Sabah ini bertujuan mendekatkan PAS kepada masyarakat. Tidak kurang 100 bungkusan makanan diedarkan kepada mereka yang perlu menunggu insan tersayang yang dirawat di situ.

Di celah-celah agihan itulah kami bertemu seorang pelawat yang cukup membuat kami rasa bersyukur dan teruja. Nyatanya PAS bukan asing buat Ansibuk Kasau (memakai topi dalam gambar) dari kampong Tigasa, Keningau.

Beliau menyebut kepada kami perihal Sarawak yang sedang melalui musim pilihan raya negeri waktu ini. “Saya harap PAS Berjaya”, begitulah ungkapan dari Ansibuk yang cukup mengharukan kami. Kepincangan yang berlaku di segenap ruang kini perlu diperbaiki, demikian harapan yang diberikan beliau kepada PAS.

Pada hari isnin keesokan harinya, program ziarah prihatin kami teruskan sekitar Keningau. Bermula dengan melawat keluarga yang mempunyai tiga anak OKU yang baru saja kematian bapa, program sebegini cukup memberi ruang praktikal untuk saya memberi faham cabaran keluarga OKU kepada penggerak-penggerak LKKP yang turut serta.

Program di Taman Muhibbah itu kami akhiri menziarahi seorang pesara Cawangan Khas yang kini menghidap penyakit saraf.

Selesai program ziarah prihatin di situ, kami bergerak di perkampungan pinggiran Keningau. Bertemu penduduk di Kampung Bandukan Baru begitu membuatkan kami merasai betapa bernilainya sebuah persaudaraan di dalam Islam.

Penghargaan berupa ucapan terima kasih dari Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung JKK, beliau (pak cik dalam bahasa tempatan) Satin Sawal cukup mengharukan. Menurut beliau Satin, kunjungan kami yang tidak dibuat oleh pihak lain tersebut begitu bermakna buat penduduk di situ. Meluahkan rasa hibanya, beliau Satin amat kesal dengan sikap pihak berkuasa yang tidak begitu mengendahkan kemiskinan penduduk di situ.

“Ada yang layak terima bantuan, sampai sekarang tak dapat-dapat. Program di surau kami usaha sendiri agar penduduk di sini tidak sunyi dari ilmu agama,” rintih beliau Satin kepada kami.

Mengakhiri jelajah LKKP di Sabah, sempat kami menjejakkan kaki di pejabat baru PAS kawsan Keningau. Sebelum meninggalkan Keningau untuk bertolak ke Kota Kinabalu, kami disajikan dengan santapan ukhuwah di rumah salah seorang penggerak PAS di Keningau.

Memulakan permusafiran pulang kami, sempat Dr. Rosni Adam ahli jawatankuasa PAS Pusat menyampaikan amanat akhir sempena jelajah kami buat peniup semangat kami dan seluruh penggerak parti di Keningau dalam mendaulatkan Islam di bumi Saba.

Terpapar jelas, Sabah adalah bumi subur untuk ditaburi benih Islam agar tumbuh di situ pepohon kerahmatan buat seluruh umat. Tepat jam 11.00 malam, kami berlepas pulang meninggalkan benih dan baja kebajikan untuk ditaburi oleh sekalian penggerak-pengerak yang senantiasa cintakan jihad. – HARAKAHDAILY 4/5/2016

Share on Myspace