Uncle Sum seru kaum Tionghua undi calon PAS

IZWAN ABDUL HALIM | .

MIRI: PAS berbeza dari Umno dan PAS tidak akan bergabung dengan Umno, demikian mesej ditegaskan bekas Adun DAP Bercham (Perak), Sum Cheok Leng.

Menurutnya, PAS bertanggung jawab membela rakyat dan tidak sama dengan Umno yang setelah 50 tahun memerintah tetapi menghadirkan rakyat dengan pelbagai penderitaan.

Malah katanya, tidak benar sama sekali media menggambarkan PAS mahu bergabung dengan Umno.

Apatah lagi katanya, persepsi itu semata-mata dari kehadiran Presiden Umno, Datuk Sri Mohd Najib Razak melawat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara.

"PAS tidak pernah kata mahu bergabung dengan Umno, tetapi tegas kata mahu ganti Umno. Tidak seperti parti lain yang kata sedia bersama Umno," bidasnya merujuk sikap ditunjukkan parti-parti Pakatan Harapan.

Beliau berkata demikian pada ceramah kelompok di Taman Tunku, di sini malam tadi 3 Mei.

Bekas ahli DAP selama 44 tahun itu yakin, hanya PAS yang dapat menjamin untuk memberi rakyat kehidupan lebih baik dan selesa kerana sifat tanggung jawab parti Islam itu.

Terdahulu pada sebelah petang, beliau menyatakan sokongan padunya kepada calon PAS pada sidang medianya di Pejabat PAS Kawasan Miri.

Beliau turut menyatakan kekesalannya terhadap DAP dan SUPP yang tidak mengubah nasib penduduk di kawasan diwakili mereka.

"Hanya pandai cakap dalam dewan (Dewan Undangan Negeri) selepas itu balik tidur. Mereka hanya main isu sahaja. Mereka bukan berjuang untuk kepentingan rakyat," bidasnya.

Beliau turut merujuk kepimpinan PAS di Kelantan sebagai bersih dalam arena politik serta menyeru penduduk Miri khususnya kaum Tionghua menyokong calon PAS. – HARAKAHDAILY 4/5/2016

Share on Myspace