PAS tidak tawar janji manis kepada pengundi

IZWAN ABDUL HALIM | .

TINGGAL tiga hari berbaki kempen sebelum hari pengundian PRN Sarawak pada Sabtu, 7 Mei ini. Di media, laporan lebih mendominan kepada pergerakan BN.

Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM cuba membawa pembaca kepada satu pandangan sisi dari perspektif PAS.

Ikuti temubual beliau bersama Pengarah Jentera Operasi PAS PRN Sarawak, Dr Wan Nik Wan Yussuf yang juga Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat pada 4 Mei.

Apakah analisis Dr berhubung kemungkinan kedudukan kerusi-kerusi yang PAS tandingi pada PRN ini?

DR WAN NIK: Alhamdulillah PAS telah berjaya meletakkan calon bertanding di 11 Dun, iaitu di Pantai Damai, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Samalaju, Jepak, Pujut dan Lambir.

Berdasarkan tinjauan awal selepas penamaan calon dan setelah kempen berjalan, ternyata kesemua calon bersemangat tinggi ditambah lagi berlakunya sokongan kuat jentera tempatan dan dibantu oleh pimpinan dari PAS Pusat dan pembantu dari negeri-negeri.

Ternyata setakat ini bagi kesemua Dun tersebut PAS mempunyai peluang kemenangan yang agak baik. Ia termasuklah di Dun yang komposisi pengundi Iban dan Cina yang agak ramai.

Walaupun begitu PAS meletakkan harapan tinggi untuk melahirkan anak sulung terutamanya di Dun yang pernah PAS tandingi pada PRN 2011 lalu. Misalnya Dun Beting Maro, Sebuyau dan Sadong Jaya.

Namun hasil perkembangan politik terkini melibatkan masyarakat Iban dan Cina, nampaknya kempen PAS turut diterima baik seperti di Pujut, Lambir dan Samalaju. Maka harapannya PAS akan membuat kejutan di Dun ini.

Bagaimana Dr melihat 'mood' pengundi setelah lebih seminggu kempen dijalankan parti-parti bertanding?

DR WAN NIK: Alhamdulillah setakat ini kempen berjalan lancar terutamanya aktiviti yang dijalankan oleh pasukan kempen calon. Pihak calon sendiri nampaknya bekerja keras melakukan pertemuan dengan kelompok pengundi sasar dan individu penting dari pelbagai segmen pengundi. Malah ada calon yang mempunyai keluarga besar dan berpengaruh dan mereka yakin keluarga mereka menyokong penuh.

Walaupun begitu kita tetap bergantung kepada kerja keras kempen kalangan Pemuda dan Muslimat serta pasukan media baru. Terutama dalam menguasai minda pengundi muda di Lambir, Samalaju, Beting Maro dan Samariang yang calonnya adalah mewakili generasi muda.

Kemudian PAS turut menjalankan kempen pembinaan keyakinan pengundi agar memilih satu-satunya calon Muslimat di Beting Maro. Kerjasama baik pasukan Muslimat telah menggerakkan usaha mempopularkan calon PAS yang dilihat lebih menguasai 'mood' pengundi berbanding calon BN dan PAN adalah lelaki.

Saya yakin, dengan aktiviti kempen yang mengutamakan nilai-nilai "Sejahtera Untukmu Sarawak" akan berjaya membina 'mood' positif kalangan pelbagai segmen pengundi di Dun-dun PAS bertanding.

Nampaknya PRN kali ini agak 'sejuk', apakah isu-isu yang lekat atau berkesan di hati pengundi pada PRN ini?

DR WAN NIK: Sebenarnya bagi PAS, PRN Sarawak merupakan medan ulung untuk mempraktikkan maksud budaya politik matang dan sejahtera. Maka aktiviti kempen yang kita utamakan adalah mendekati pengundi dengan perbincangan, penerangan, berkebajikan dan silaturahim.

Meskipun ada provokasi pihak lawan terhadap kempen PAS seperti di Lambir berlaku 'billboard' PAS dikhianati, kita tidak 'reaktif', tapi kita cuba pasang balik.

Maka penyampaian isu kepada pengundi kita utamakan kempen seperti lawatan rumah ke rumah bagi memberi penerangan dan menjalin silaturahim agar calon kita dikenali.

Begitu pula, kita turut membuktikan kepada masyarakat PAS mampu memberi khidmat melalui usaha projek Sejahtera di Samalaju dengan berkongsi isu rintihan penduduk Iban yang tertekan akibat projek Pan-Borneo.

Kita juga memperkenalkan teknologi 'Tubewell' bagi mendapatkan sumber air untuk mengatasi sedikit sebanyak isu berkalan air untuk kehidupan rakyat.

Atas pendekatan sedemikian, kita mengurangkan program bersifat 'showforce' atau rapat umum yang dikatakan tidak menepati sosiobudaya tempatan di Dun yang PAS bertanding.

Maka cara kempen PAS sebegini dilihat sejuk tetapi sebenarnya rancak dalam menyampai dan menyelesaikan isu kalangan pengundi.

Pendekatan budaya politik matang & sejahtera PAS, bagaimana Dr melihat ia memberi sesuatu dalam konteks Sarawak khususnya PRN ini?

DR WAN NIK: Sememangnya kita semua amat mengalu-alukan pendekatan politik matang dan sejahtera yang diperkenalkan oleh Tuan Guru Presiden PAS pada awal tahun ini.

Sebagaimana saya nyatakan dalam ulasan tentang isu-isu kempen tadi, keutamaan kita ialah menemui dan menyampaikan isu-isu kepada pengundi. Bukannya untuk memaksa atau menawar janji manis kepada pengundi.

Kita sebut apa yang upaya dibuat. Ini kempen sebenar. Dalam bahasa Sarawak disebut "Kamek bekhidmat, Kitak mberik Mandat."

Kita tidak mahu pengundi terpengaruh dengan janji manis pemimpin BN. Misalnya di Beting Maro. PM dan TPM datang tabur janji atas kesusahan rakyat yang terbiar lama semenjak 50 tahun dulu lagi. Masalah bekalan air, jeti, jalan, jambatan dan sekolah serta pekerjaan anak muda. Malah isu yang lebih besar tentang tanah adat tempat hidup mereka, tidak dihiraukan.

Maka PAS berkempen secara matang, kita nyatakan kebenaran. Jika mahu dapatkan semua kemudahan "kitak berik mandat ke PAS" dan PAS akan suarakan dalam Dewan Negeri. Maka PAS wajib dipilih.

Selama ini pun, Beting Maro dapat projek kemajuan apabila PAS banyak bersuara ketika pilihan raya 2001. 2006, dan 2011 lalu. Jadi, ada baiknya PAS diberi peluang menang untuk khidmat yang lebih baik demi kesejahteraan kepada semua  rakyat.

Kehadiran pimpinan utama PAS dan kesannya pada PRN ini?

DR WAN NIK: Dari aspek operasi pilihan raya, kita telah jadualkan penglibatan pimpinan parti di semua peringkat. Oleh sebab itu kita buat pembahagian bertugas ikut Dun. Misalnya Pimpinan Pemuda hendaklah memberi fokus kepada Dun Lambir, Muslimat di Dun Beting Maro dan Ulama di Dun Samariang.

Demikian juga pimpinan PAS Pusat dilantik sebagai Mas'ul kepada Dun tertentu demi melicinkan urusan perjalanan kempen dan persiapan pilihan raya. Sekaligus juga, semua pimpinan PAS dari Negeri-negeri datang membantu mengikut gelombang negeri masing-masing.

Pendekatan yang diambil ini telah banyak menyelesaikan urusan pengarahan, pemantauan dan bantuan logistik di setiap Dun yang kita bertanding. Alhamdulillah, setakat ini jentera kita di setiap Dun berjalan lancar.

Apakah ulasan Dr mengenai pendekatan parti-parti lain pada PRN ini?

DR WAN NIK: Dalam 11 Dun PAS bertanding, nampaknya kesemua berdepan dengan saingan tiga atau lebih penjuru, kecuali di Pantai Damai hanya PAS dengan BN.

Apa pun, persaingan sebenar PAS hanya dengan BN. Penglibatan parti ketiga dan keempat mahupun yang kelima dilihat kurang terserlah. Sebagaimana berlaku di lima Dun PAS berdepan dengan PAN di Muara Tuang, Samariang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro. Kita dapati kempennya tidak bersifat sebenar. PAS berdepan hanya dengan kempen sebenar daripada BN. Maka nampaknya semacam PAS dengan BN yang bertanding.

Apapun kita tidaklah memandang kecil penyertaan PAN, kerana kita sedar tujuan PAN adalah untuk memecah belahkan undi PAS. Maka jentera kempen kita diarahkan juga membuat tindakan sewajarnya bagi menjawab isu-isu kempen mereka yang banyak memburukkan PAS.

Demikian pula di Dun yang PAS berdepan dengan DAP dan PKR, terutama di sebelah zon utara. Maka kita gunakan pendekatan kesejahteraan dan perpaduan kaum dengan menggerakkan pasukan kempen Calon dan DHPP dapat menemui lebih ramai pengundi Cina dan Iban. Selain berusaha keras untuk memecah benteng BN di kawasan pengundi Melayu.

Apa pun kita sedar, masing-masing parti ada cara kempen yang berbeza. Misalnya BN lebih banyak menggunakan kekuatan kerajaan dan menteri Pusat dan yang berkempen dengan tema memenangkan "Team Adenan Satem."

Namun, ada juga kelihatan sesama parti BN tidak 'ngam'. Contohnya di Dun Pujut, parti SUPP tidak dipilih sebagai calon BN, yang dipilih ialah calon langsung BN. Menyebabkan SUPP terkilan.

DAP dan PKR pula hampir senada dalam membangkitkan isu-isu ekonomi dan penyelewengan kerajaan BN atau PM. Tetapi jarang DAP dan PKR dilihat sepentas kerana mereka telah bertelagah sejak awal dalam isu perebutan kerusi untuk bertanding. Sedangkan mereka dalam satu Pakatan Harapan. Yang pasti Harapan sudah tinggal harapan.

Kesemua gelagat parti-parti pesaing itu berlaku di Dun yang PAS bertanding. Kita harap ia akan memberi kelebihan kepada PAS.

Jangkaan Dr terhadap politik Sarawak selepas ini dan pengaruhnya pada PRU14 nanti.

DR WAN NIK: Apa yang pastinya, BN dilihat berwibawa dan kondusif untuk kekal menang (ekoran jumlah Dun hasil persempadanan baru sebanyak 82 kerusi dan peralihan Ketua Menteri yang baru).

Memandangkan pula penyertaan PAS adalah untuk menang dan melahirkan Adun Sulung. DAP dan PKR pula sekadar untuk menafikan kuasa dua pertiga BN. Malah paling negatifnya, Pakatan Harapan yang diuar-uarkan telah bertukar kepada kekalutan yang bakal terbawa-bawa dalam PRU14 nanti.

Oleh itu, sekiranya BN kekal berkuasa,  maka Team Adenan Satem akan lebih berkuasa dan di sebelah kita PAS menganggap masa depan untuk perubahan politik Sarawak makin tertangguh.

Walaupun di sananya ada manfaat untuk rakyat Sarawak, tetapi tanpa suara semak dan imbang yang kuat, maka kerajaan yang berkuasa akan bertindak lebih korup. Ini petanda yang amat teruk kepada politik negara.

Bagi BN itulah impiannya untuk mereka kekal berkuasa di dalam PRU14. Ia kerana Sarawak dengan jumlah 31 Parlimen merupakan deposit tetap untuk PM, Datuk Sri Mohd Najib terus gah.

Jika ini benar berlaku, maka sesuatu yang malang kerana rakyat Sarawak akan dilihat bersubahat dengan tindakan korup pemimpin Pusat dalam isu 1MDB, GST, TPPA, wang RM2.6 billion, penyelewengan Tabung Haji. Isu pendidikan DLP dan sebagainya.

Apa pun kita mengharapkan kesan PRN Sarawak kali ini bukan petunjuk sebenar kepada persaingan pada PRU14. – HARAKAHDAILY 4/5/2016

Share on Myspace