Pelajar dibuli mengadu sesak nafas

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa yang didakwa dibuli pelajar lain baru-baru ini dikejar ke hospital sekali lagi akibat sesak nafas dan kejang saraf.

Bapanya, Dr Zulkeefle Yaacob berkata anaknya Aiman Hazim, 15 dikejar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dengan ambulan dari rumah neneknya di Wakaf Zin, Tawang petang Ahad lepas.

Kata beliau anaknya mengadu sesak nafas dan kejang tangan serta kaki.

“Dia juga tidak boleh duduk lama, paling lama pun 15 minit selepas itu mengadu sakit di bahagian belakang,” katanya di sini.

Pada kejadian 7 April lepas Aiman dilapor ditendang dua kali di leher sehingga menyebabkan tidak sedar diri. Ekoran itu beliau dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II selama seminggu.

Berikutan peristiwa tersebut pihak sekolah menggantung persekolahannya bersama pelajar yang menendangnya selama dua minggu.

Dr Zulkeefle yang juga pensyarah berkata, anak berada semalaman di wad kecemasan dan dibenarkan pulang keesokan harinya.

“Doktor memberitahu anak saya mengalami cedera agak teruk pada saraf tunjang, dan perlu tempoh lama untuk pulih.

“Dia juga dilarang bergerak dan disyorkan berehat dengan baring. Dan pada 8 Mei ini Aiman sekali lagi akan menjalani rawatan tulang leher dan rahang oleh doktor pakar,” katanya.

Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim turut menziarahi Aiman dan menyampaikan sumbangan ketika berada di wad kecemasan Isnin lepas. - HARAKAHDAILY 4/5/2016

Share on Myspace