2 hari sebelum pengundian PRN Sarawak ke-11

MUHTAR SUHAILI | .

Alhamdulillah di atas segala-segalanya. Bicara Dam’ah wa Ibtisamah (Setitis Air Mata dan Seulas Senyuman) ini ditulis khas untuk menyatakan rasa syukur dan menyampaikan ucapan terima kasih. Luahan nurani dari rasa hati ini dinukil khas melalui tinta perjuangan demi menajam fikiran dan menaikkan semangat Islami agar rasa-rasa itu terus menjulang tinggi. Semoga semangat ini kekal membara dari kini sampai akhir nanti. Semoga tulisan ini ada kebaikan dan manfaatnya buat sahabat-sahabat seperjuangan sekalian. Saya doakan kemuliaan dan kebahagiaan buat kalian dalam perjalanan dan kembara istiqamah menuju kecemerlangan dunia dan Akhirat. Mudah-mudahan kesampaian. Allahumma Aamiin!
 
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 ini sangat istimewa namun mencabar bagi saya. Saya terlibat secara langsung dalam perancangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam PRN kali ini dengan keterlibatan di semua peringkat parti dari Jawatankuasa Induk (JKI), Jawatankuasa Strategi (JKS) sehinggalah Jawatankuasa Operasi (JKO) selain dilantik sebagai Jurucakap Rasmi PAS untuk PRN Sarawak selaku Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak (BPPNS).

Bermula dari perancangan strategik, pencarian dana, pengurusan jentera, pemilihan calon, pelancaran Tawaran Sejahtera Untukmu Sarawak, pengisytiharan calon, penamaan calon sehinggalah kini kempen pilihanraya menjelang hari pengundian pada Sabtu 7 Mei ini, semuanya adalah lembaran hidup yang akan diabadikan sebaiknya.
 
Saya seorang jurutera dan saya pernah menyatakan bahawa “mengurus hati dan manusia tidak semudah mengurus robot dan mesin”. Wallahi, banyak pengalaman, pelajaran dan cabaran dalam menguruskan pilihan raya kali ini.

Namun sumbangan saya sebenarnya terlalu sedikit! Hero sebenar ialah ratusan bahkan ribuan ahli, petugas dan penyokong PAS dari seantero negara di seluruh peringkat yang turun padang di Bumi Kenyalang memerah keringat, mencurah idea dan berkorban diri dan harta dalam misi memenangkan PAS dan Islam di Sarawak. Mereka ikhlas berjuang dan tidak berkira semata-mata mengharap redha Allah! Kebanyakan mereka datang bertugas dengan duit dan perbelanjaan sendiri dan selayaknya mereka mendapat tempat di dalam doa dan munajat kita semua.

Berderai air mata ini menatap gambar Cikgu Mohd Shokri Mohd Fauzi (mantan Pesuruhjaya PAS Sarawak pertama) yang hadir ke penamaan calon Samariang dengan berkerusi roda. Insan yang dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) ini telah meletakkan Islam melebihi hidupnya. Sebak hati menatap gambar petugas-petugas di Kakus yang sanggup ke ulu pedalaman bertemu pengundi di rumah-rumah panjang dengan penuh semangat juang. Perjalanan yang jauh dengan jalan yang sukar penuh debu bukan penghalang, bahkan gambar makan tengah hari dengan mi maggi di tepi sungai sangat menyentuh perasaan. Lebih menarik, replika pesawat jet pejuang yang diletakkan di Pekan Tatau mencuri tumpuan dan mendapat liputan media di seluruh negara.
 
Semangat petugas di Pantai Damai yang menaiki bot tambang ke Pulau Salak, jentera Muara Tuang yang menghiasi jalan Kota Samarahan dengan kibaran megah bendera hijau PAS, petugas Sadong Jaya yang menaikkan gugusan bendera yang menghiasi angkasa selain replika meriam buatan dibalut bendera PAS, semangat anak muda Sebuyau yang tanpa mengenal penat lelah bertugas di bilik gerakan dan memacak bendera di atas bukit kuari, kekuatan pasukan PAS di Jepak yang terus memperhebatkan kempen meski padang perlawanan tidak sama rata, jelajah ke pelbagai lokaliti di Samalaju dengan kawasan Dun yang agak luas, gambar anak-anak harapan bangsa memegang belon PAS dengan senyuman di bibir, penerimaan terhadap PAS daripada masyarakat majmuk majoriti Cina di Pujut dan paling istimewa di Beting Maro apabila ayah biras saya yang dahulunya tegar menyokong BN ketika saya berambeh (berziarah dan tidur bermalam) di rumahnya baru-baru ini telah memakai baju PAS dan menyatakan akan mengundi PAS kali ini!

Inilah senario semasa dan kisah benar yang berlaku yang meyakinkan saya bahawa PAS hakikatnya sudah menang, tidak kira apa jua keputusan pilihanraya nanti! Lebih mengharukan, saya mengenali sahabat yang telah menginfakkan puluhan ribu hartanya untuk pilihan raya kali ini di kala beliau sendiri berhadapan mehnah dan tribulasi. Bahkan sendu di hati bila seorang pakcik tua menelefon saya 3 kali untuk menyatakan telah memasukkan sumbangan RM100 pada setiap panggilan dan di akhir perbulan (ketiga-tiganya!) menangis kerana hanya itu yang mampu diberi untuk perjuangan Islam dan tiada keupayaan untuk turun sendiri ke medan membantu PAS Sarawak dalam pilihan raya ini. Hanya satu pintanya “Doakan pakcik ya anak supaya istiqamah sampai mati!”

Selanjutnya, saya kagumi semua calon yang bertanding! Haji Jofri Jaraiee (Pesuruhjaya PAS Sarawak) yang tawakkalnya tinggi dan yakin penuh rezeki itu dari Allah SWT. Beliau meletak jawatan dari Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), syarikat yang beliau telah berkhidmat 24 tahun semata-mata kerana memikul amanah jamaah. Ia bukan pengorbanan yang calang-calang dengan meninggalkan jawatan bergaji beliau bila mana mempunyai 4 orang anak yang masih kecil dan bertanding di kerusi majoriti Cina N.74 Pujut yang mana atas kertas sukar untuk menang.

Saya tabik kepada Sdr Mohammad Arifiriazul Paijo (calon N72 Lambir, 32 tahun, mantan Eksekutif IT PCSB), Sdr Zharudin Narudin (calon N70 Samalaju, 31 tahun, mantan Jurutera Malaysia LNG), Ustaz Yusuf Assiddiq Ahmad Sharqowi (calon N07 Samariang, 30 tahun, Imam dan Qari Al-Quran) dan Cik Hamidah Mokhtar (calon N29 Beting Maro, 26 tahun, Usahawan Muda – Pengarah Butik Muslimah). Mereka semua lebih muda dari saya namun bersemangat waja menerima taklifan yang diputuskan oleh jamaah.

Saya juga terharu dengan TR Clement Bayang, calon bukan Islam mewakili Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menyatakan keyakinan penuh menjadikan PAS sebagai medan berjuangnya dalam politik. Bahkan beliau menyatakan "selama saya dengan PAS saya rasa betul-betul tenteram". Beliau telah bersama PAS sejak tiga tahun dan kini dipilih sebagai calon dan giat berkempen bersama parti Islam ini di N.60 Kakus, di mana pengundi di sini kebanyakannya berbangsa Iban dan beragama Kristian. Syukur yang tidak terhingga penduduk mula menerima dan memahami perjuangan yang dibawa oleh PAS.

Demikian juga dengan calon yang lain iaitu Cikgu Asan Singkro (N24 Sadong Jaya), Tuan Haji Kiprawi Aman (N67 Jepak), Sdr Zulkipli Ramzi (N16 Muara Tuang), Sdr Zainal Abidin Yepni (N04 Pantai Damai) dan Ustaz Haji Wan Abdillah Ahmad (N27 Sebuyau) yang sanggup mengorbankan kepentingan diri demi untuk membawa panji jamaah. Antum insan terpilih, semoga Allah merahmati kalian dan menerima tadhiyyah (pengorbanan) yang dilakukan.

PRN kali ini juga banyak berita menarik yang menceriakan dan juga hal istimewa yang menitiskan air mata kegembiraan! Saya terharu apabila pada malam Pelancaran Tawaran Sejahtera Untukmu Sarawak oleh Tuan Guru Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Kuching pada 12 Mac 2016, sejumlah lebih setengah juta ringgit (RM516,000) berjaya dikumpulkan.

PAS bukan parti yang kaya, bahkan antara perkara yang menjadi kebimbangan saya apabila kita putuskan bertanding 11 kerusi (6 kerusi lebih banyak berbanding PRN Ke-10) ialah tentang dana untuk membiayai keseluruhan perjalanan pilihan raya. Namun benarlah kata-kata Almarhum Ustaz Harun Taib: “Siapa kata PAS tak ada duit? PAS banyak duit.. Tapi duit PAS ada dalam poket ahli-ahlinya!”.

Lebih menyoronokkan ramai ahli PAS terus bersemangat menyumbang untuk pilihan raya kali ini. Peguam PAS berbondong-bondong turun padang membantu memberi khidmat perundangan dan nasihat dalam hal-hal berkaitan peraturan pilihan raya. Puluhan bahkan mungkin ratusan doktor PAS bergilir-gilir menyediakan perkhidmatan perubatan percuma di kesemua 11 Dun. - HARAKAHDAILY 5/5/2016

Share on Myspace