Kongres Kebangsaan Melayu luluskan cadangan PAS

HARAKAHDAILY | .

KONGRES KEBANGSAAN MELAYU LULUSKAN CADANGAN PAS TENTANG ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN (5 MEI 1957)

PADA hari ini dalam tahun 1957, Kongres Kebangsaan Melayu Kedua telah meluluskan cadangan PAS berkaitan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang akan dikemukakan kepada British.

Sebelum itu, pada 4 Mei 1957, Kongres Kebangsaan Melayu Kedua ini telah memutuskan lima dasar Perlembagaan Malaya merdeka yang dikemukakan oleh PAS dan Parti Negara (PN).

Lima dasar tersebut ialah i. Negara Melayu merdeka dikenali sebagai Persekutuan Negeri-negeri Melayu (cadangan PAS); ii. Melayu adalah kebangsaan tunggal negara ini (PN); iii. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tunggal (tidak dinyatakan empunya cadangan); iv. Islam menjadi agama rasmi (PN); dan v. Hendaklah memelihara wujudnya keistimewaan baka Melayu sebagai tuan punya negeri ini (PAS).

Kongres Kebangsaan Melayu Kedua adalah kongres anjuran ahli-ahli Umno yang diketuai Yahya Sheikh Ahmad yang kecewa dengan sikap Umno dalam menerima Penyata Reid.

Ia diadakan pada 4-7 Mei 1957 dengan menghimpunkan parti politik dan pertubuhan Melayu untuk mengkaji Penyata Reid. Antara pertubuhan yang terlibat ialah PAS, PN, PRM, KRMK, LAIN, KMSB, PEMAS dan 17 lagi pertubuhan Melayu, dengan PRM menarik diri pada hari kedua. Wakil rasmi PAS ialah Dr Burhanuddin al-Helmy, Ustaz Othman Abdullah dan Mohd Asri Haji Muda. Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Kongres.

Dalam sidang pada hari pertama, setelah beberapa pemimpin utama menyampaikan ucapan, Kongres telah meluluskan lima dasar Perlembagaan Malaya, dan memutuskan supaya PAS menyediakan cadangan tentang kedudukan Islam dalam Perlembagaan setelah usul PN diterima.

PAS kemudiannya mengemukakan satu kertas pada hari kedua, 5 Mei 1957, berkaitan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan Warta Negara pada 6 Mei 1957 menyiarkan bahawa semua cadangan PAS ini diluluskan oleh Kongres.

Antara cadangan PAS tentang kedudukan Islam sebagai agama rasmi ialah:

I. Bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan Negeri-negeri Melayu;

II. Berdasarkan kedudukan rasmi ini, maka
    a. al-Quran dan Sunnah menjadi pegangan dan pedoman hidup negeri dan pemerintahan
   b. Sebuah Majlis Islam Pusat ditubuhkan untuk menyatukan dan menyelaras pentadbiran agama
   c. Diwujudkan Mahkamah Syariah di semua negeri dan Mahkamah Tertinggi Syariah di Pusat
   d. Membentuk Majlis Fatwa yang dianggotai mufti-mufti negeri dan diketuai oleh Mufti Besar
   e. Mewujudkan Sekolah Tinggi (Universiti) Islam dan mewujudkan sistem pendidikan Islam di semua peringkat
   f. Perbelanjaan pendidikan Islam dan Mahkamah Syariah dibiayai kerajaan negeri, manakala perbelanjaan Mufti Besar, Majlis Islam Pusat dan Mahkamah Syariah Tertinggi ditanggung oleh Pusat.

III. Kebebasan beragama adalah dijamin kepada penganut bukan Islam.

Kongres Kebangsaan Melayu Kedua ini telah melantik Jawatankuasa Kerja Kongres iaitu Dr Burhanuddin al-Helmy, Ustaz Othman Abdullah, Dato' Onn Jaafar, Ahmad Abdul Rahim, Mohd Yunus Hamidi Yahya Sheikh Ahmad, Hassan Nor, Mohd Dahlan Masod dan Hashim Mahmud.

Kongres ini juga bersetuju dengan cadangan PAS supaya dasar Perlembagaan ini akan diperjuangkan terus menerus sehingga ia berhasil secara halal dan damai; supaya Dr Burhanuddin al-Helmy dan Dato' Onn Jaafar mewakili Kongres menemui Tunku Abdul Rahman yang bertolak ke London; dan bersetuju supaya wakil Kongres juga menyertai Rombongan ke London.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
5 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 5/5/2016

Share on Myspace