Peluang PAS menang Dun Muara Tuang agak cerah

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KOTA SAMARAHAN: Calon PAS yang bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Muara Tuang, Zulkipli Ramzi mengingatkan kerajaan negeri agar tidak menjadikan projek untuk rakyat sebagai ‘gula-gula’ politik pilihan raya.

Ini kerana, kata beliau banyak projek-projek bagi kepentingan rakyat di Sarawak dan khususnya di kawasan Kota Samarahan mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

Menurutnya, rakyat sentiasa menjadi mangsa keadaan apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negeri ini bersikap tidak jujur dan ikhlas.

“Ini kerana, banyak projek-projek pembinaan jambatan di Sungai Samarahan ini telah mengambil masa yang lama. Sedangkan, ada jambatan yang sepatutnya hanya mengambil masa yang singkat tetapi mengambil masa hingga lima tahun.

“Kita harap mereka (kerajaan) buat jamabatan itu dengan jujur dan ikhlaslah. Jangan jadi seperti beri ‘gula-gula’ kepada rakyat.

“Sebelum ini, projek untuk pilihan raya negeri yang lepas dan kemudian pergi ke pilihan raya peringkat Parlimen tapi akhirnya tidak siap juga dan sekarang (status) projek jambatan ini baru ada tapaknya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengiringi lawatan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pengkalan Feri Kota Samarahan, di sini, semalam. Turut serta Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan pemimpin PAS setempat.

Beliau yang juga Bendahari PAS Sarawak mendakwa keperluan rakyat kepada jambatan itu telah lama disuarakan kepada kerajaan negeri ini.

“Sebenarnya isu (jambatan) ini sudah berlarutan dan orang kampung sudah lama minta dan menunggunya.

“Sekarang ini, Alhamdulillah dalam proses pembinaan jambatan baharu itu yang merentasi Sungai Samarahan. Cumanya, diharapkan janji itu dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Sebab, apa yang kita (rakyat) tengok sudah dua tiga kali program perasmian (bina jambatan) dibuat apabila datangnya pemimpin Barisan Nasional (BN),” jelasnya selaku Yang Dipertua PAS kawasan Samarahan.

Ketika ditanya tentang penerimaan rakyat terhadap kempennya sejak hari penamaan calon, beliau yang juga Penyelaras Dun Muara Tuang yakin peluang PAS untuk menang agak cerah.

Menurutnya, kehadiran PAS secara serius dalam masyarakat tersebut bermula selepas PRN ke-10 pada tahun 2011 lagi.

“Alhamdulillah, setakat ini penerimaan rakyat di Kota Samarahan ini terutama di Dun Muara Tuang sangat baik.

“Sebab, kita (PAS) telah bekerja dan dampingi rakyat sejak tahun 2011 lagi. Selepas PRN ke-10 tahun 2011 yang lalu, kita terus bekerja untuk mendekati orang-orang kampung dan di kawasan Kota Samarahan ini hampir 90 peratus telah mengenali PAS ini, insya Allah,” jelasnya yang sentiasa tersenyum.

Kehadiran beliau bertemu rakyat bersama dengan pimpinan utama PAS seperti Tuan Guru Abdul Hadi  dan Takiyuddin cukup memberi kesan kepada para pengundi.

Calon PAS itu, Zulkipli Ramzi, 38, berpendidikan Diploma Elektronik Industri dan Instrumentasi, Pusat Latihan Teknikal (YDTC) Sarawak serta bekerjaya sebagai usahawan. - HARAKAHDAILY 5/5/2016

Tuan Guru Abdul Hadi bersama Zulkipli rancak bersembang dengan beberapa penduduk di kedai kopi Jeti Muara Tuang.

Share on Myspace