PAS optimis menang, buat lonjakan saat akhir

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Terdapat beberapa kerusi yang dikesan berpotensi bakal dimenangi oleh PAS dalam Pilihan raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 ini, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau dalam siri lawatan bersama pimpinan PAS Pusat ke kawasan Dun-Dun yang ditandingi oleh PAS menegaskan keyakinan itu berdasarkan laporan yang diterima dalam mesyuarat induk Badan Perhubungan PAS Sarawak, semalam.

"Respons sangat positif dan sambutan pun sangat baik. Setakat ini kita telah membuat analisa terhadap Dun-Dun tersebut.

"Ada beberapa Dun yang kita rasa sangat berpontesi untuk kita menangi dan kita minta petugas-petugas kita membuat lonjakan di saat-saat akhir," terang beliau dipetik laman rasmi PAS PRN Sarawak.

Siri lawatan bersama pimpinan PAS pusat bermula daripada Dun yang terdapat dalam daerah Kuching dan berakhir ke Dun Beting Maro. Turut bersama dalam kunjungan tersebut adalah Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Tuan Ibrahim juga menasihati para petugas agar berwaspada pada saat terakhir menjelang hari pembuangan undi Sabtu ini.

Ini kerana, katanya pihak Barisan Nasional akan menggunakan pelbagai kaedah bagi memenangi pilihan raya kali ini.

“Biasanya jika BN rasa terancam, mereka akan turun dengan pelbagai bentuk. Berlaku sedikit provokasi di sebelah Bintulu, banner kita dibakar, dicat dan sebaganya. Kita mengharapkan ini tidak merebak dan berkesudahan dengan baik,” ujarnya ketika ditemui di Markaz PAS Sadong Jaya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada jentera negeri-negeri yang turun membantu 11 Dun yang ditanding oleh calon PAS. Mereka datang membantu jentera tempatan bagi memantapkan serta menaikkan motivasi.

“Mereka datang dengan penuh semangat bekerja dan juga ini merapatkan ukhuwah petugas-petugas parti. Insya Allah dengan kesungguhan kita bekerja dan kemudian calon kita yang baik, mudah-mudahan Allah beri kemenangan kali ini,” katanya lagi.

Ditanya tentang Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang diperkenalkan oleh PAS, beliau menjelaskan dalam situasi PRN Sarawak terdapat sedikit perubahan.

“Walaupun ianya tidak besar dalam konteks pilihan raya, tapi khususnya hubungan kita dengan pegawai kerajaan. Saya sedikit komen berhubung dengan sekatan tempoh tinggal sebahagian pimpinan pusat disenaraikan orang tidak dibenarkan lebih daripada 5 haribulan. Ini kita harapkan dapat dipertimbangkan di pihak imegresen, kerana saat akhir adalah tempoh penting bagi semua parti-parti politik.

“Budaya politik matang sejahtera ini, saya fikir, positif dalam konteks kita dengan pengundi, kita kunjung hormat, kita pergi ziarah dia.

"Kita, niat kita pergi ziarah dan hubungan kita pergi ziarah itu kita dapat pahala. Dengan sebab kita pergi dengan niat baik, mudah-mudah kita mendapat respons yang baik (dari pengundi),” jelas beliau.

Share on Myspace