Dun Sarawak perlukan pembangkang konstruktif

HARAKAHDAILY | .

Bumi Kenyalang adalah dataran subur dan indah. Masyarakatnya mudah mesra dan politiknya harmoni. Bumi pahlawan Rentap dan Rosli Dhobi ini sangat berpotensi menjadi sebuah negeri yang maju ekoran hasil bumi yang lumayan.

Kehadiran PAS di bumi bertuah ini bersifat membantu rakyat Sarawak agar mereka dapat menikmati hak yang sepatutnya mereka miliki.

PAS hadir untuk mengangkat suara rakyat yang diwakili ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak agar mendapat perhatian wajar dari kerajaan yang memerintah.

Dun Sarawak memerlukan pembangkang yang konstruktif (membina) dan baik ke arah mewujudkan "check and balance" dalam pentadbiran dan pemerintahannya. Ia sangat penting dan akan memulangkan suatu yang positif kepada rakyat.

Bukanlah bermaksud untuk mengajar rakyat Sarawak yang pastinya bijak menentukan pilihan dan masa depan mereka.

Namun hadirnya PAS adalah untuk mengajak rakyat Sarawak memimpin kebangkitan dan melakukan perubahan "Untukmu Sarawak" demi Sarawak Sejahtera makmur dan membangun dengan adil dan saksama.

PAS bertanding 11 kerusi sahaja dan bersedia untuk menjadi pembangkang yang membina seraya menyuburkan proses demokrasi di Dun Sarawak.

Pada masa yang sama, PAS mengemukakan calon yang berwibawa, berilmu dan mempunyai moral yang tinggi sebagai asas kepercayaan yang layak diharapkan oleh rakyat Sarawak.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 5/5/2016

Share on Myspace