Sambut baik lebuh raya rentasi Tanjong Karang

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Selangor menyambut baik cadangan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membina Lebuh raya Jajaran Pantai Barat melalui pekan Tanjong Karang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata langkah itu mampu mengelakkan kampung berhampiran terpecah dua jika projek itu merentasi kampung sekitar Tanjung Karang.

“Kita juga tidak mahu perniagaan di pekan itu mati jika berlaku ‘by pass’ dan langkah ini juga dapat mengelakkan tanah orang kampung diambil alih. Tetapi, yang penting perlu dirancang rapi supaya Pekan Tanjung Karang tidak mengalami kesesakan,” katanya dipetik Selangor Kini.

Iskandar berkata, JKR masih belum membentangkan jajaran muktamad seperti dilaporkan Sinar Harian kepada kerajaan negeri sebelum diluluskan.

Sebelum ini, penduduk beberapa kampung sekitar Tanjong Karang membantah cadangan jajaran lebuh raya itu yang akan merentasi beberapa kampung di Tanjong Karang.

Keputusan membina lebuh raya merentasi kampung itu bukan sahaja menjejaskan flora dan fauna, bahkan turut menyebabkan beberapa kampung terpecah dua dan beberapa tanah penduduk di situ juga terpaksa diambil.

Share on Myspace