Pakej bawa pelancong ke Madinah Ramadan

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Hanya kira-kira sebulan lagi Ramadan yang ditunggu umat Islam bertandang lagi. Kemeriahan Ramadan di Kelantan ternyata berbeza berbanding negeri-negeri lain.

Kewujudan Madinah Ramadan di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV menjadi tarikan utama pelancong ke Kelantan sempena Ramadan.

Tiap-tiap malam ribuan penduduk tempatan dan pelancong menunaikan solat Tarawih di Madinah Ramadan.

Sambutan yang begitu hangat itu menyebabkan ada cadangan daripada syarikat penerbangan yang berminat membuka pakej khusus membawa pelancong dari Kuala Lumpur datang ke Kelantan untuk bersolat tarawih.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, minat penduduk di luar Kelantan untuk mengimarahkan Ramadan di Kota Bharu begitu tinggi.

“Kami yakin ramai yang berminat datang ke Kelantan hanya untuk bersama-sama meraihkan kemeriahan Ramadan di sini,” katanya.

Sebelum ini ada pelancong asing dari Singapura meninjau Madinah Ramadan tersebut bagi melihat kemeriahan umat Islam beribadat. Mereka dibawa oleh sebuah syarikat penerbangan.

Abdul Fattah juga berkata, disebabkan sambutan menggalakkan tahun ini kerajaan negeri memperluaskan Madinah Ramadan ke Bandar Satelit Islam Pasir Tumboh. - HARAKAHDAILY 5/5/2016

Share on Myspace