Timbalan Presiden PAS kena keluar Sarawak hari ini

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin utama PAS termasuk timbalan presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, setiausaha agung, Datuk Takiyuddin Hassan, ketua penerangan, Nasrudin Hassan dan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurrazi serta puluhan petugas parti diminta meninggalkan Sarawak hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha PAS Sarawak, Mukhtar Suhaili dalam satu kenyataan.

Menurutnya, PAS Sarawak telah menghantar surat rasmi ke Pejabat Ketua Menteri Sarawak bertarikh 3 Mei lalu untuk memohon memanjangkan tempoh had masa pemimpin dan petugas PAS berada di negeri itu.

Katanya, beberapa pemimpin PAS, antaranya Ketua Pemuda, Ustaz Nik Mohamad Abduh dan timbalannya, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi mendapat kelulusan untuk had masa tambahan 7 hari.

Selain itu, ujarnya PAS negeri juga mengucapkan terima kasih kerana beberapa pimpinan tertinggi PAS dibenarkan masuk tanpa halangan seperti Naib Presiden, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Ustaz Idris Ahmad serta Ketua Pengarah Pilihan raya, Datuk Mustafa Ali. - HARAKAHDAILY 5/5/2016

Share on Myspace