Helikopter hilang: Doa mohon kesejahteraan, keselamatan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyeru seluruh umat Islam dan rakyat mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mereka yang berada dalam helikopter yang dilaporkan hilang di Sarawak, petang semalam.

Beliau menyatakan demikian dalam satu tulisan malam tadi, sebagaimana di bawah.

Merujuk kepada kehilangan helikopter di Sarawak membawa dua ahli parlimen beserta rombongan, saya menyeru seluruh umat Islam dan rakyat mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mereka.

Antara doa yang boleh diwiridkan dalam situasi ini ialah:

  لَّا إِلَٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

"Tiada Ilaah (yang diserahkan perhambaan diri dan ketaatan) melainkan Engkau. Maha suci Engkau. Sesungguhnya daku sebelumnya tergolong di kalangan orang yang melakukan kezaliman."

Ia merupakan Doa Nabi Allah Yunus ketika diuji dengan ditelan oleh ikan besar sebagaimana difirmankan oleh Allah dalam surah al-Anbiya' ayat 87 dan disabdakan oleh Rasulullah SAW:

 دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الْحُوتِ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ، إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ، إِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ لَهُ بِهَا.

Maksudnya: Doa Nabi Yunus (baginda digelar sebagai Zu al-Nun) di saat berada di dalam perut ikan besar ialah:

(لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ، إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِين)

"Sesungguhnya tidak berdoa dengannya oleh seorang muslim dalam sesuatu perkara melainkan diterima oleh Allah untuk dirinya dengan doa tersebut."

Hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim serta dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani.

Berikut pula tulisan Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan.

Selamatkan mereka Ya Allah!

Apabila kita mendengar berita yang tidak diingini seperti berita helikopter hilang, selayaknya kita sebagai manusia yang berakhlak dan beragama segera mendoakan mereka agar mereka selamat walau siapa mereka termasuklah non muslim.

Sedih saya melihat komen seperti tidak berhati nurani. Kelihatan mereka gembira kerana barang kali penumpang itu musuh politik mereka. Ada yang mula menghitung hari untuk pilihan raya kecil. Allahu Akbar!

Susahkan anda mahu doakan keselamatan mereka dan memberi semangat kepada ahli keluarga mereka?

Ya Allah! Engkaulah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijak dan Maha Perkasa. Selamatkan mereka dan permudahkan urusan serta situasi mereka. Amin. - HARAKAHDAILY 6/5/2016

Share on Myspace