Sejarah: Berita Adun PAS keluar parti tersebar

HARAKAHDAILY | .

BERITA ADUN PAS KOTA BHARU TIMUR KELUAR PARTI TERSEBAR DI MEDIA (6 MEI 1965)

PADA hari ini dalam tahun 1965, media massa telah menyiarkan berita desas-desus Adun PAS Kota Bharu Timur, Saufi Idris telah keluar dari PAS setelah beliau bersama dua lagi Adun, Ustaz Nik Abdullah Arshad dan Tuan Guru Che Hassan Ismail ditahan ISA sejak 24 Februari 1965 atas tuduhan "menimbulkan huru-hara di kalangan orang ramai" iaitu berkait isu kafir-mengkafir. Saufi Idris adalah bekas ahli Umno yang menyertai PAS, kemudian menjadi Adun sejak 1959, sebelum ditahan ISA.

Dalam Pilihan Raya Umum Kedua pada 25 April 1964, beliau yang masih dalam tahanan tanpa bicara bersama dua lagi Adun tersebut telah dicalonkan semula oleh PAS untuk mempertahankan kerusi masing-masing yang masyhur dengan cerita "calon Perikatan lawan songkok PAS" kerana calon berada dalam tahanan. Kerana dalam tanahan juga, beliau tidak menghadiri perjumpaan wakil-wakil rakyat PAS pada 4 Mei 1964 dan tidak mendengar 'Amanat Terakhir Prof Zulkifli Mohamad'.

Dalam pilihan raya ini, beliau berjaya mengalahkan calon Perikatan, Wan Aziz Wan Umar dengan majoriti 1,884 undi. Pada 1959, beliau memenangi kerusi ini dengan majoriti 3,704 mengalahkan Mat Haji Ali (Perikatan), Ismail Daud (Negara) dan Tuan Man Tuan Salleh (Sosialis Front).

Menjelang Pilihan Raya Umum 1964, untuk melemahkan PAS, beberapa Adun telah ditahan ISA, termasuk Saufi Idris.

Beliau dikatakan telah dipujuk untuk diberikan jawatan penting jika berjaya menumbangkan Kerajaan PAS Kelantan semasa berada dalam tahanan tanpa bicara itu.

Pendekatan politik di luar batas demokrasi ini dilakukan dengan harapan untuk menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan seperti yang dilakukan di Terengganu pada 30 Oktober 1961, terutama setelah PAS mempertahankan Kerajaan Kelantan hanya dengan 21 daripada 30 kerusi.

Perikatan selepas kes ini, telah menahan beberapa lagi Adun, diikuti oleh penculikan beberapa Adun lain yang hampir menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan pada Ogos 1968.

Dalaman PAS sendiri ketika ini menjadi agak tegang kerana media massa sejak April 1965 telah menimbulkan kononnya berlaku krisis kepemimpinan dengan mendakwa beberapa Adun PAS termasuk Tuan Guru Haji Che Hassan Ismail dan Dato' Ishak Lotfi Omar akan keluar parti.

Dengan tekanan mental dan tawaran jawatan tinggi serta strategi media menimbulkan krisis dalaman PAS ini, telah menyebabkan Adun Kota Bharu Timur ini telah memohon untuk keluar parti pada 28 April 1965.

Permohonan beliau kemudiannya diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 4 Mei 1965.

Setiausaha Agung PAS kemudiannya membuat pemakluman kepada seluruh peringkat organisasi dan kepemimpinan PAS pada 5 Mei 1965.

Keputusan Jawatankuasa Kerja Agung PAS ini mempunyai kaitan dengan latar belakang Saufi Idris yang dahulunya merajuk dari Umno pada 1959 kerana tidak dapat menjadi calon Perikatan, dan mula mensabotaj PAS setelah keluar ISA kerana mahu menjadi Timbalan Menteri Besar.

Pada 6 Mei 1965, akhbar-akhbar mulai menyiarkan berita tentang kedudukan Saufi Idris yang bertukar menjadi wakil Bebas. Untuk menjelaskan perkara sebenar, Pesuruhjaya PAS Kelantan pada 10 Mei 1965 telah membuat pengumuman rasmi bahawa Saufi Idris bukan lagi ahli PAS.

Saufi Idris yang tidak segera menyertai Umno kekal sebagai Adun Bebas sehingga peristiwa Turn About About Turn pada Ogos 1968, di mana beliau bersama beberapa Adun PAS telah menyertai Umno.

Selepas menyertai semula Umno dan menjadi dalang kepada penculikan wakil rakyat PAS dalam usaha menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan, beliau telah tewas dalam Pilihan Raya Umum 1969 di tangan calon PAS, Wan Hashim Wan Ahmad dengan majoriti 1,086 undi.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
6 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 6/5/2016

Share on Myspace