Hak milik tanah: Sarawak patut contohi Selangor

HARAKAHDAILY | .

Kerajaan Negeri Sarawak patut mencontohi skim RM1,000 Kerajaan Negeri Selangor untuk menyelesaikan masalah hak milik tanah.

Dalam lawatan saya ke Sarawak, saya menerima laporan bahawa ramai yang gagal mendapat hak milik tanah kerana tidak mampu membayar premium.

Selagi premium tidak dibayar, mereka hanya diberi Temporary Occupation License atau TOL (Lesen Menduduki Sementara) dan boleh terus tinggal di rumah mereka.

Di Selangor, terdapat juga mereka yang menghadapi masalah yang sama.

Tetapi di bawah skim ini mereka hanya perlu membayar RM1,000 untuk mendapatkan hak milik tanah dan surat hakmilik tanah (geran) boleh dikeluarkan di atas nama mereka.

Walau bagaimanapun mereka tidak boleh memindahkan hak milik kepada orang lain kecuali kepada saudara mara terdekat.

Oleh yang demikian, jika mereka hendak menjual tanah mereka, premium penuh perlu dibayar.

Seramai 2,995 pemohon telah ditawarkan kemudahan skim ini sejak ia diperkenalkan pada tahun 2011.

Kerajaan Negeri Selangor sejak 2008 telah meluluskan hak milik tanah kepada 5,803 pemohon yang memiliki rumah di atas tanah kerajaan.

Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

Calon-calon PAS pada PRN Sarawak jika berjaya akan terus memperjuangkan hak-hak rakyat ke atas tanah-tanah mereka di Dewan Undangan Negeri.

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
Naib Presiden PAS / Exco Kerajaan Selangor
6 Mei 2016 / 28 Rejab 1437 - HARAKAHDAILY 6/5/2016

Share on Myspace