PRN Sarawak: PAS dan anak muda

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

PAS menyertai PRN Sarawak dengan matlamat yang jelas di sebalik kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh pelbagai pihak terutama BN. Matlamatnya adalah Islam untuk kesejahteraan semua.

Sarawak adalah sebuah negeri yang banyak kelebihannya. Tetapi kepincangan pemerintahannya adalah ketara. Segala kelebihan yang ada, Islam datang untuk menyempurnakan dan melestarikannya. Adapun kekurangan dan keburukan, Islam datang dengan cara terbaik untuk membaiki atau meniadakannya.

PAS membawa mesej Islam yang penuh adil dan sejahtera untuk manusia sejagat. Mungkin pelik dan samar-samar bagi sebahagian mereka yang masih jauh daripada menghayati Islam bahawa di dalam masyarakat yang berbilang etnik dan ugama seperti Sarawak, bagaimana PAS boleh yakin untuk bertapak. Tetapi bagi PAS, tiada yang pelik. Jika bumi Sarawak itu Allah-lah yang menciptakan, mengisikan dan mencantikkannya, apa logiknya ugama daripada Allah tiba-tiba tidak boleh berperanan menambahkan lagi kecantikan negeri Sarawak?

Presiden PAS menjelaskan dalam ucapannya di Sarawak baru-baru ini bahawa PAS menyokong Ketua Menteri Sarawak adalah seorang muslim. Sebabnya mudah, kerana PAS yakin kekuatan pengajaran ugama Islam sebagai penyatu rakyat Sarawak yang pelbagai etnik.

Tinggal lagi bagaimana Ketua Menteri Sarawak yang beragama Islam itu seharusnya mengambil Islam sebagai panduan pemerintahan. Ramuan dan resepinya telah tersedia. Yang tinggal hanyalah mengguna dan melaksanakannya dalam pemerintahan.

Politik ialah menguruskan kehidupan rakyat secara saksama. Ia melindungi rakyat yang mungkin terpinggir di dalam persaingan kehidupan. Ia juga menyekat ketamakan individu masyarakat yang melanggar hak masyarakat. Jika kita jelas, maka itulah maksud khilafah di muka bumi. Sememangnya mengurus kehidupan ramai itulah matlamat sebenar Islam diutuskan.

Jika di mana-mana pun negara yang majoriti rakyatnya adalah bukan Islam, minoriti Islam diajar oleh ugama mereka untuk turut menyumbang kepada keharmonian hidup, maka apa peliknya Sarawak yang walaupun penganut Islamnya adalah minoriti, tetapi ia sudah pun dikenali dan diterima dengan baik oleh rakyat Sarawak. Islam sebagai agama persekutuan Malaysia telah mengukuhkan lagi keutamaan Islam sebagai faktor penyatu rakyat Malaysia.

Negeri Sarawak, isu utamanya ialah ketidakadilan terhadap pengagihan hasil mahsulnya kepada rakyat. Kerajaan pusat mengaut hasil mahsul Sarawak dengan banyak tetapi sumbangan baliknya amat tidak mencukupi. Apa yang diperolehi pula diagihkan secara tidak adil.

Ia adalah isu yang sama di seluruh Malaysia. Negeri-negeri dalam persekutuan Malaysia mengalami kemajuan yang tidak seimbang. Malah agak mengejutkan untuk kita menerima hakikat bahawa negeri-negeri yang memiliki sumber hasil minyak petroleum adalah merupakan antara negeri- negeri yang paling miskin di dalam negara.

BN ternyata telah dihanyutkan oleh kemewahan dan kerakusan kuasa yang melalaikan mereka daripada merasai kesalahan dan jenayah yang mereka sendiri lakukan. Perubahan kepimpinan yang berlaku di dalam BN sedikit pun tidak menjanjikan perubahan kepada yang lebih baik.

Kesannya, jurang miskin kaya adalah amat ketara. Kehidupan di bandar terpisah di antara dua darjat yang ketara. Kehidupan di pedalaman begitu teruk, cukup tidak menggambarkan sebuah negara semaju Malaysia. Ianya adalah kerana kelemahan dan jenayah pemerintahan yang disembunyikan.

Generasi lama diajar bersyukur dengan apa yang ada tanpa didedahkan dengan penyelewengan yang dilakukan apatah melawannya. Akhirnya pembangunan dan kemajuan di Sarawak adalah mengikut keuntungan dan laba buat orang-orang kaya, bukan mengikut keperluan dan keutamaan.

Justeru perubahan mesti dilakukan. Generasi muda mesti bangkit daripada kelenaan menuntut apa yang menjadi hak mereka. Perubahan minda anak muda adalah pemangkin utama perubahan negeri Sarawak kepada yang lebih baik.

Gerakan anak muda yang sedar pastinya akan disambut oleh generasi lama yang telah lama dihimpit keperitan hidup. Ia adalah tanggung jawab dan amanah yang mesti dipikul.

PAS harus diberi peluang untuk turut berperanan melakukan islah dan pembaikan. PAS dengan keupayaan dan kesediaannya bertanding di 11 Dun sebenarnya bermatlamat jelas untuk menjadi agen perubahan yang bakal menguntungkan kehidupan rakyat Sarawak.

Hari ini PAS Sarawak semakin kukuh dengan kehadiran anak-anak Sarawak sendiri yang bersedia memikul amanah perubahan ini. Dalam PRN kali ini, PAS menampilkan 5 orang calonnya yang berumur bawah 40 tahun dengan latar belakang pendidikan dan pekerjaan yang meyakinkan dan menggambarkan keupayaan PAS hari ini untuk menyumbang kepada perubahan.

Krisis dalam negara kita hari ini turut dirasai oleh rakyat Sarawak. Akses kepada sistem pendidikan yang lebih baik mestilah disegerakan. Sekolah-sekolah tidak boleh lagi ketinggalan jauh ke belakang berbanding negeri-negeri lain yang lebih baik.

Anak muda pula kehilangan pekerjaan dan diburu pengangguran yang semakin meruncing. Kerajaan gagal meyakinkan rakyat bahawa krisis ini akan selesai dalam kadar segera. Sudah pasti ia menjadi berita buruk kepada anak muda yang baru ingin memulakan kehidupan berumah tangga.

PAS datang dengan janji Islam untuk kesejahteraan. Kejayaan PAS meletakkan calon bukan Islam buat kali pertama di Sarawak adalah satu kejayaan besar yang mampu mengubah minda rakyat Sarawak terhadap ugama Islam dan PAS sebagai parti yang memperjuangkannya.

Bersama kita bekerja untuk negara kita tercinta. Kelak kejayaan lebih besar menunggu kita insya Allah. - HARAKAHDAILY 6/5/2016

Artikel di atas adalah untuk siri kolum 'Terang Rembulan' akhbar Harakah.

Share on Myspace