PAS Sarawak bawa suara rakyat jika diberi mandat

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

SEBUYAU: Calon PAS yang bertanding di N.27 Sebuyau, berjanji kepada para pengundi akan membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11, esok.

Ustaz Wan Abdillah Wan Ahmad, 44, berkata rakyat di Dun Sebuyau banyak ketinggalan kemudahan asas meskipun diwakili oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Parti Bumuputera Bersatu (PBB).

Menurutnya, wakil rakyat BN-PBB itu Datuk Julaihi Narawi telah mewakili rakyat Sebuyau selama 25 tahun lalu.

“Saya akan memperjuangkan hak rakyat di Dun Sarawak jika diberi mandat pada pilihan raya kali ini. Saya ucap terima kasih kepada PAS Pusat kerana memberi peluang dan memilih saya jadi calon N.27.

“Rakyat Sebuyau masih ketinggalan kemudahan asas yang baik seperti naik taraf sekolah, klinik, masjid, isu tanah rakyat, bekalan air bersih dan banyak lagi.

“Wakil rakyat BN telah lima penggal atau 25 tahun jadi Adun Sebuyau tetapi hak dan kepentingan rakyat masih tidak banyak berubah,” jelasnya kepada wakil Harakah, semalam.

Ustaz Wan Abdillah sebelum ini juga merupakan aktivis masyarakat di Sebuyau banyak mengetengahkan isu-isu rakyat.

Antaranya, kata beliau isu kuari yang beroperasi sejak lebih 64 tahun lalu itu seolah-olah ‘kebal’ serta tidak mempedulikan hak rakyat.

“Kita (PAS) ada banyak isu untuk diketengahkan bagi membela hak rakyat di Sebuyau ini seperti isu kuari yang telah beroperasi sejak tahun 1952 lagi. Mereka (syarikat) tidak mempedulikan hak dan kepentingan rakyat.

“Isu tanah adat, tanah penempatan rakyat yang tidak diberi hak milik malah boleh diambil tanpa membayar pampasan.

“Kemudahan Klinik masih tidak sempurna dan sekolah-sekolah masih binaan kayu dan tidak dinaik taraf untuk jadi lebih baik dan selesa.

“Isu Masjid Sebuyau yang sampai hari ini telah tiga kali pemimpin mereka (BN-PBB) buat majlis pecah tanah tapi tidak dibangunkan. Janji hanya tinggal janji sahaja,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ustaz Wan Abdillah mengharapkan agar rakyat dan para pengundi khususnya boleh membuat perubahan dengan memilih PAS pada pilihan raya kali ini.

Tambah beliau, PAS dilihat satu-satunya parti yang boleh membawa suara rakyat terus ke Dun Sarawak bagi menuntut hak serta kepentingan mereka. - HARAKAHDAILY 6/5/2016

Share on Myspace