PRN Sarawak: PAS 'hijack' khutbah Jumaat?

IZWAN ABDUL HALIM | .

MIMBAR khutbah Jumaat di Sarawak hari ini mungkin menyampaikan isi kandungan yang sama. Berkisar mengenai pemerintahan di mana khatib menegaskan bahawa ia adalah perkara amat penting kepada Islam.

Jelas dari khutbah dibacakan itu, pemerintahan sangat berkait dengan al-imamah yakni kepimpinan yang dibahaskan dengan meluas dalam kitab-kitab khususnya siyasah syar'iyyah.

Tegas khatib, politik Islam sangat memberi perhatian soal pemilihan pemimpin yang akan menegakkan agenda dan tujuan Islam terutama undang-undangnya.

Oleh itu perlu pemimpin itu mempunyai ciri yang selayaknya untuk ia diangkat ke kedudukan tersebut.

Sememangnya isu khutbah disampaikan itu sangat mengujakan dan telah lama diimpikan para pendokong perjuangan Islam di negara ini.

Ia benar-benar kejutan apatah lagi konvoi calon PAS N.72 Dun Lambir, Arifiriazul Paijo mungkin terkejut kerana melihat khatib yang membaca khutbah itu iras calon PAS N.74 Dun Pujut, Jofri Jaraiee.

Mulanya disangka PAS telah 'hijack' khutbah Jumaat hari ini, rupanya tidak, tetapi ia benar-benar teks Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

Akhirnya, khutbah itu menyeru agar ditunaikan tanggung jawab pengundian Piluhan Raya Negeri Sarawak pada esok hari, Sabtu, 7 Mei 2016.

Nah! Sejak bila politik boleh masuk dalam masjid? Dari awal bahang PRN Sarawak kira-kira sebulan lalu, institusi masjid telah diberi arahan tidak menerima sebarang aktiviti politik.

Mentaliti pemisahan antara politik atau pemerintahan dengan agama atau istilahnya sekularisme, juga doktrin bahawa politik itu kotor, mungkin masih stigma pada kebanyakan orang.

Tetapi akhirnya sejarah tercipta pada PRN11 Sarawak, apabila mimbar Jumaatnya memperakui bahawa politik Islam wujud dan tidak ada pemisahannya dengan agama. Ia juga menyedarkan bahawa soal pemilihan pemimpin adalah perkara serius yang perlu diberi perhatian umat.

Sama ada mahu mengakui atau tidak, ianya penangan keberadaan PAS yang ternyata menarik perhatian masyarakat Sarawak. Ia juga petanda tekanan kepada pihak pemerintah yang mulanya cuba mengadakan sekatan di masjid, tetapi parti merekalah menodai ketetapan itu.

Mimbar Jumaat terpaksa dijadikan kesempatan untuk memihak kepada pemerintah kononnya, bahkan mungkin sebagai 'saingan' kepada PAS yang sememangnya diketahui umum adalah peneraju politik Islam.

Detik kejayaan dakwah PAS semakin mendaki. Cahaya masa depannya bersinar terang dan benih ditanamnya menumbuh kian subur.

Rakyat Sarawak akan menoleh melihat dan mengamati PAS. Jika diukur secara empirik berdasarkan butiran ciri disebut dalam khutbah, pastinya calon PAS paling memenuhi kelayakan untuk diundi selaku pemimpin.

Demikian itu, ayuh disahut semboyan "ittaqullah" dilaungkan khatib khutbah Jumaat tadi. Realisasikannya dengan memberi undi kepada calon PAS. – HARAKAHDAILY 6/5/2016

Share on Myspace