Tindakan ke atas Husam keputusan secara kolektif

HARAKAHDAILY | .

Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan (DMPNK) menyokong keputusan Jawatankuasa Tatatertib PAS yang telah memutuskan untuk mengambil tindakan ke atas Datuk Husam Musa (Adun Salor). Ia merupakan satu keputusan secara kolektif dari jawatankuasa disiplin parti yang diketuai oleh veteran parti yang berpengalaman.

Kami penuh yakin bahawa jawatankuasa dan parti yang mengambil masa yang begitu lama dalam menimbangkan dengan sebaik-baiknya dan saksama mengenai implikasi kesan siasah dan organisasi dari pelbagai dimensi. Yang paling penting tindakan parti ini dibuat berteraskan etika, kebenaran dan keadilan.

Semoga tindakan ini akan memberikan peringatan dan pengajaran agar semua ahli dapat menjaga kredibiliti parti dan jamaah dengan sebaiknya. Sudah barang tentu setiap keputusan ada pro dan kons sama ada respons positif atau negatif menurut kaca mata masing-masing. Walau bagaimanapun ruang untuk rayuan masih terbuka luas untuk Datuk Husam merayu kepada parti dan insya Allah kembali bersama parti sebagai wadah untuk meneruskan perjuangan politik Islam di tanah air.

Sehubungan dengan itu, DMPNK menyeru semua ahli PAS menerima dengan sebaiknya, bertenang dan terus istiqamah bersama kepimpinan parti.

Semoga ibrah dan hikmah atas segala yang berlaku akan menguntungkan jamaah dan parti di dunia dan akhirat.

Siti Zailah Mohd Yusof
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan - HARAKAHDAILY 6/5/2016

Share on Myspace