Pecat ahli langgar disiplin bukan pelik – Presiden PAS

ASLANI M | .

JELI: Tindakan PAS memecat pemimpin atau ahli yang melanggar peraturan parti bukan perkara pelik kerana ia pernah berlaku sebelum ini.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata pernah seorang anggota parlimen PAS dipecat kerana menghadiri program anjuran kerajaan BN yang melibatkan majlis tari-menari.

“Ini bukan lagi perkara pelik dan bukan hanya berlaku sekarang. PAS memecat ahli yang melanggar disiplin parti,” katanya pada ceramah di Dataran Jeli malam tadi.

Ribuan penduduk tempatan hadir pada program berkenaan.

Hadir sama Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Yang Dipertua PAS Jeli Mohd Apandi Mohamad, Naib Yang Dipertua Mohamad Abdul Hamid dan Ketua Penerangan Suply Abdul Razak.

Semalam Jawatankuasa Tatatertib PAS memecat keahlian Adun Salor Datuk Husam Musa berkuatkuasa 23 April 2016 kerana melanggar disiplin parti.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata PAS sekarang mempunyai seramai 1.1 juta ahli yang bernaung di 192 kawasan PAS di seluruh negara.

“Kita sekarang hanya belum lagi mewujudkan organisasi parti di 30 lagi kawasan di Malaysia,” ujarnya.

Che Abdullah pula berharap rakyat Kelantan bertenang bagi menghadapi situasi terhadap pemecatan keahlian PAS seorang Adun di negeri tersebut.

Sebaliknya kata beliau rakyat di Jeli hendaklah mengambil tanggungjawab bagi merampas semula tiga Dun dan parlimen Jeli yang terlepas ke tangan BN beberapa penggal sebelum ini. – HARAKAHDAILY 7/5/2016

Share on Myspace