PAS yakin diterima pengundi Sarawak

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KOTA SAMARAHAN: PAS menaruh keyakinan tinggi bahawa perubahan sikap rakyat dan pendekatan politik matang bakal membuahkan hasil yang positif pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11, hari ini.

Ini kerana, kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad penerimaan rakyat Sarawak tidak merasa kekok dengan kehadiran parti itu.

Menurutnya, penerimaan yang baik oleh penduduk di semua kawasan dan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang ditandingi PAS.

“Pertama, Alhamdulilah, tinjauan awal kita melihat bagaimana penduduk tidak merasa kekok dengan kehadiran kita dan menerima PAS, tidak sebagaimana keadaan yang berlaku sebelum ini pada pilihan raya lalu.

“Saya yakin dan percaya, insya Allah penerimaan yang baik dilakukan oleh penduduk di kawasan dan di Dun-Dun yang PAS bertanding satu kesan yang positif.

“Kita harapkan juga mereka buktikan dalam bentuk ‘kotak undi’ pada hari (mengundi) ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu mengiringi calon PAS N.16 Muara Tuang, Zulkipli Ramzi di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Dato Mohamad Musa, di sini, pagi ini.

Selain itu, katanya sikap rakyat Sarawak yang tidak taksub terhadap kepartian juga amat berbeza dengan keadaan di Semenanjung.

“Kedua, tidak ada sikap taksub melampau kepada kepartian. Mereka boleh menerima kehadiran kita dan sebab itu pendekatan kempen kita di sini juga agak berbeza dengan Semenanjung.

“Di sini kita lebih kepada kesantunan budi yang kita lakukan terhadap mereka. Sebab itu, walaupun dikelilingi rumah mereka dengan lambang dacing, mereka pakai baju dacing.

“Namun, mereka boleh menerima kehadiran perayu-perayu undi kita dan tidak mustahil, kita akan dapat ‘anak sulung’ PAS di negeri Sarawak pada pilihan raya kali ini,” tegasnya.

Dun Muara Tuang mempunyai 48 buah pusat mengundi dengan jumlah pengundinya lebih 18,000 orang. - HARAKAHDAILY 7/5/2016

Share on Myspace