Ahmad Azzam dilantik semula Pesuruhjaya PAS Terengganu

HARAKAHDAILY | .

PAS LANTIK SEMULA USTAZ AHMAD AZZAM SEBAGAI PESURUHJAYA PAS TERENGGANU UNTUK SELESAIKAN KRISIS (7 MEI 1960)

PADA hari ini dalam tahun 1960, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah melantik semula bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Ahmad Azzam Hanafiah sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu "bagi tahun 1960" setelah Badan Perhubungan PAS Terengganu ditadbir oleh Jawatankuasa Darurat sejak 23 Oktober 1959.

Pelantikan semula Ustaz Ahmad Azzam ini adalah langkah Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk menyelesaikan krisis kepemimpinan yang berlaku dalam Kerajaan PAS Terengganu selepas pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum 1959.

Dalam krisis kepemimpinan ini, telah berbangkit isu ekoran kegagalan Menteri Besar Terengganu, Mohd Daud Samad untuk melantik Ustaz Ahmad Azzam yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu sebagai Timbalan Menteri Besar.

Sebelumnya, Badan Perhubungan PAS Terengganu pada 24 Jun 1959 telah bersetuju supaya Ustaz Ahmad Azzam dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Terengganu jika beliau tidak terpilih sebagai Menteri Besar, dan kemudiannya hendaklah mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar.

Menteri Besar Terengganu sendiri dalam ucapan pertamanya pada 29 Jun 1959 telah berjanji untuk mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar yang akan diperuntukkan kepada Pesuruhjaya PAS Terengganu itu.

Berlarutan dari isu tersebut, setelah selesai Pilihan Raya Umum Parlimen yang diadakan kemudian daripada Pilihan Raya Umum Negeri pada 1959, beberapa Cawangan PAS telah menentang kepemimpinan Ustaz Ahmad Azzam kerana masalah pemilihan calon Parlimen.

PAS Cawangan Kuala Terengganu, Kemamang dan Dungun secara terbuka menentang Pesuruhjaya PAS itu. Pada 16 Oktober 1959, Badan Perhubungan PAS Terengganu telah mencadangkan supaya Ustaz Ahmad Azzam dilucutkan jawatan dan dibentuk Jawatankuasa Darurat. Cadangan ini kemudiannya disahkan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 25 Oktober 1959.

Jawatankuasa Darurat PAS Terengganu yang bentuk adalah terdiri daripada Wan Hussein Azmi Wan Abdul Kadir (Pengerusi), Da Abdul Jalil Awang (Timbalan Pengerusi), Tengku Bijaya Sura (Bendahari), Syed Abdullah Alwi (Setiausaha), Ngah Muhammad, Ustaz Omar Shukri Embong, Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar, Syed Noah dan Wan Azizah sebagai Ahli-ahli Jawatankuasa, selain Yang Dipertua PAS Cawangan-cawangan.

Bertindak balas terhadap tindakan tiga Cawangan PAS ini, Ustaz Ahmad Azzam telah memberi amaran kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS bahawa kegagalan menyelesaikan masalah ini boleh menyebabkan Kerajaan PAS Terengganu tumbang.

Ustaz Ahmad Azzam pada masa ini adalah Adun Jeram merangkap anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu. Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu pada 1958 menggantikan Mohd Asri Haji Muda, setelah sebelumnya beliau menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang sejak 1954.

Disebabkan ancaman beliau kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS, pada 30 Januari 1960, Badan Perhubungan PAS Terengganu telah bersetuju supaya beliau dilantik semula sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu untuk mengelakkan krisis yang boleh menumbangkan Kerajaan PAS di negeri tersebut.

Pada 7 Mei 1960 telah bersetuju melantik semula beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu tanpa sebarang syarat, namun krisis yang berlanjutan ini akhirnya menumbangkan Kerajaan PAS Terengganu pada 30 Oktober 1961.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
7 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 7/5/2016

Share on Myspace