Ahli PAS Pahang diseru hadiri Infiru 4K esok

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

TEMERLOH: Himpunan 4,000 tenaga Jentera Pilihan Raya PAS Pahang pada program Infiru 4K di Kompleks Al-Makmur esok (Ahad), adalah bertujuan ingin menyatakan kesiapsiagaan parti itu untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 14.
 
Pengarah program Hasenan Harun berkata, melalui himpunan ini Jabatan pilihan raya (JPrN) PAS Pahang ingin menyatakan komitmen PAS untuk mempertahankan kerusi N.15 Dun Tanjung Lumpur, N.12 Beserah di samping akan mengembalikan kerusi N.32 Kuala Semantan yang telah dilarikan oleh parti serpihan.
 
Tambahnya, jentera yang hadir mewakili semua daerah mengundi yang PAS bertanding dan dengan itu pihaknya telah mengenal pasti beberapa lagi kerusi yang berpotensi untuk dimenangi.
 
“Kehadiran Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali, akan menyemarakkan lagi Himpunan Infiru 4K ini,” katanya.
 
Menurut Hasenan, majlis perasmian oleh Tuan Guru Presiden akan bermula jam 10 pagi diikuti ikrar jentera juga melibatkan Unit Amal, ARC, Briged Muslimat dan Kelab Veteran PAS.
 
Manakala pada sebelah petangnya akan berlangsung forum Politik Matang & Sejahtera melbatkan panel Ustaz Nasrudin Hassan dan Dr Muhamad Zuhdi Marzuki.

“Kemuncaknya pada sebelah malam ialah ceramah perdana melibatkan Tuan Guru Presiden, timbalannya, ketua penerangan dan Pengerusi DHPP Balasubramaniam.
 
“Dengan itu kita menyeru semua ahli dan penyokong PAS hadir untuk memberi suntikan semangat kepada himpunan jentera pilihan raya yang akan bergerak dan bekerja mulai sekarang hingga PRU 14 yang dijangkakan dalam tempoh setahun lebih sahaja daripada sekarang,” katanya. - HARAKAHDAILY 7/5/2016

Share on Myspace