Tahniah buat semua jentera, teruskan perjuangan

HARAKAHDAILY | .

Alhamdulillah, puji dan sanjungan adalah hak Allah SWT yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat hamba-hambaNya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan kepada Rasulullah SAW, manusia yang diutus Rabbnya sebagai pemberi dan penunjuk arah, pembawa berita gembira, pemberi peringatan dan penyeru kepada agama Allah dengan izinNya.

Kita telah diberi berita gembira melalui firman Allah SWT di dalam Kitab Suci Al-Qur’an Al-Kariim yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang beriman dan mengerjakan amal yang soleh ke dalam syurga-syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Di syurga itu mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas dan mutiara, dan pakaian mereka adalah sutera..” (Surah Al-Hajj, ayat 23)

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak telah berlalu dan saat artikel ini ditulis, keputusan telah kita perolehi dan dukacita dimaklumkan PAS belum berjaya melahirkan Adun sulung dalam PRN kali ini. PAS telah menang moral dan semangat, meskipun belum menang kerusi Dun di Sarawak!

Timbalan Presiden PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menulis di Facebook beliau: "Kalau kita bekerja hanya utk pilihan raya, kita tentu kecewa. Namun jika kita bekerja untuk Islam, maka Allah tidak akan mengecewakan kita. Salam perjuangan buat semua petugas."

Ya, menang atau kalah kita serahkan kepada Allah. Allah tidak tanya sama ada kita kalah atau menang, tetapi Allah akan tanya sejauh mana kita usaha utk memenangkan agenda Islam. Jangan kita pernah menangis sekiranya Islam tidak menang, tetapi kita kena menangis sekiranya kita tidak bersama untuk membantu kemenangan Islam.

Tahniah kepada semua ahli, jentera dan petugas PAS yang telah berkhidmat, bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh dengan penuh keikhlasan untuk memenangkan PAS dan Islam, kerana Allah dan untuk Allah. Kami anak Sarawak berbangga dengan semangat juang kalian.

Terima kasih kepada semua jentera tempatan yang tentunya kita belajar banyak ilmu pilihan raya melalui pengalaman kali ini. Insya Allah kita usaha lebih gigih lagi pada masa akan datang. Virus kecewa dan penyakit putus asa tiada dalam kamus orang beriman.

Penghargaan istimewa buat semua jentera negeri dan dewan bantu yang tidak berkira hadir membantu melancarkan gerak kerja. Insya Allah kita kekal dan kukuhkan ukhuwah fillah yang sedia terjalin. Saya kasih kalian kerana Allah.

Jazakumullahu khairal jaza' buat semua penyumbang dana dan dermawan budiman yang melicinkan persiapan parti. Segala wang ringgit dan harta yang dilaburkan saya doakan menjadi asbab kalian menjadi ahli syurga.

Tribut khas buat kesemua 11 calon atas kesudian menjadi calon dan sanggup berkorban apa sahaja demi melaksanakan amanah jamaah, taklifan pimpinan dan membawa panji parti. La tahzan, janganlah bersedih. Kalian adalah hero kami seluruhnya!

Buat akhirnya, ayuh teruskan perjuangan sebagaimana yang sering kita alunkan dengan penuh semangat lewat Lagu Tema PAS - Berjihadlah:

Berjuanglah wahai Ansorullah
Dengan matlamat Daulah Islamiah
Berkorbanlah wahai yang beriman
Dengan harta dan segenap kepunyaan

Bergeraklah ke gerbang jasa
Kalah menang bukan alasannya
Sucikanlah niat di hati
Hingga nyata benarnya janji Rabbi.

Allahu Akbar! Wa Lillahil Hamd.

Siiru 'ala barakatillah, teruskan perjuangan!

"Untukmu Sarawak, Sarawak Sejahtera"
"Beristiqamah Hingga Kemenangan"

Saudara Seperjuanganmu,

Muhtar Suhaili As-Sarawaki
Setiausaha PAS Sarawak.
Pujut, Miri, Sarawak
29 Rejab 1437 | 7 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 7/5/2016

Share on Myspace