Sejarah: Pendaftaran PAS Singapura ditolak

HARAKAHDAILY | .

PENDAFTARAN PAS SINGAPURA DITOLAK (8 MEI 1954)

PADA hari ini dalam tahun 1954, Pendaftar Pertubuhan Singapura telah menolak permohonan PAS untuk mendaftarkan PAS Cawangan Singapura yang dibuat sejak 1952.

PAS Singapura  adalah antara yang terawal berkembang kerana kedudukan Pulau Jajahan Mahkota British ini lebih bebas dan terbuka untuk perkembangan Islam.

Beberapa pemimpin awal PAS adalah tokoh politik terkenal di Singapura seperti Ustaz Abdul Rahman Jamaluddin al-Jampuli yang merupakan Naib Yang Dipertua Agung PAS 1951-1953, Peguam Ahmed Mohamed Ibrahim (Tan Sri Prof Emeritus Ahmed Ibrahim), Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS 1953-1954 dan Sheikh Fadhlullah Suhaimi, pengasas PAS.

Mereka yang menjadi penggerak awal PAS di Singapura telah memohon pendaftaran PAS Cawangan Singapura pada 1952 mengikut Ordinance of Society Singapore, tetapi kelulusannya tertangguh.

Antara faktor yang menangguhkan kelulusan ini ialah kerana rusuhan isu Natrah di Singapura pada Disember 1950 yang menyebabkan dua tokoh utamanya, Dr Burhanuddin al-Helmy dan Karim Ghani ditahan.

Dr Burhanuddin al-Helmy adalah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Isu Natrah yang dibebaskan pada pertengahan 1952, telah dilantik sebagai ahli kehormat PAS Cawangan Johor Bahru pada 23 April 1954.

Faktor ini dilihat mengancam kedudukan British di Singapura yang mengakibatkan British menolak permohonan PAS mendaftarkan cawangannya di Singapura pada 8 Mei 1954.

Tidak mengalah dengan keputusan British ini, ahli-ahli PAS Singapura, setelah dibentuk kerajaan rakyat melalui Pilihan Raya Umum Singapura 1955 dengan melantik David Paul Marshall sebagai Ketua Menteri, telah mengadakan pertemuan di rumah Ustaz Mohd Taha Suhaimi, anak Sheikh Fadhlullah Suhaimi pada 24 Februari 1957.

Dalam pertemuan yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy ini, mereka telah bersetuju menubuhkan semula PAS Cawangan Singapura dan melantik Ustaz Mohd Taha sebagai Ketua PAS Cawangan Singapura.

Pada 8 Ogos 1958, pendaftaran PAS Cawangan Singapura telah diluluskan oleh Kerajaan Singapura.

PAS Cawangan Singapura telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan yang pertama pada 20 November 1958.

Bekas Setiausaha Agung Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) Singapura, Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah telah dilantik sebagai Ketua PAS Cawangan Singapura.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketujuh pada 25-27 Disember 1958, PAS Cawangan Singapura telah mendapat status autonomi dan PAS Cawangan Singapura diperakui setaraf dengan Perhubungan PAS Negeri di mana ketuanya adalah dengan sendiri menjadi Pesuruhjaya PAS Singapura.

Sepanjang sejarah PAS Singapura, ia telah dipimpin oleh Ustaz Mohd Taha Suhaimi (1957-1958), diikuti oleh Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah (1958-1962).

Setelah Ustaz Abdullah Zawawi dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS pada 1962, Ustaz Mohd Taha Suhaimi kembali memimpin PAS Singapura sehingga 1966.

Ekoran pemisahan Singapura dari Malaysia pada 1965, Ordinance of Society Singapore telah menetapkan semua pertubuhan berdaftar di Singapura dilarang mempunyai hubungan dengan pertubuhan di luar dari negara Singapura.

Ini menyebabkan PAS Cawangan Singapura terpaksa berpisah dengan PAS dan mula dikenali sebagai Angkatan Islam (AIS) yang dipimpin oleh Wan Jo Abu Bakar.

Pada tahun 2011, AIS telah dikenali dengan nama baru Angkatan Islam Singapura (Angkasa).

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
8 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 8/5/2016

Share on Myspace