Pasca PRN Sarawak, PAS terus berlawan

HARAKAHDAILY | .

Walaupun gagal memenangi sebarang kerusi di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 semalam, PAS terus melawan kemungkaran dan ketidakadilan. Semuanya tidak melemahkan PAS untuk bergerak di Sarawak sebagai sebuah parti politik dan gerakan dakwah.

Pilihan raya hanya satu juzuk daripada aktiviti PAS, banyak lagi ruang yang PAS boleh bergerak walaupun di luar musim pilihan raya. PAS tidak akan menyerah kalah dan semput dada selagi  PAS tidak meninggalkan Islam sebagai dasar.

Banyak rungutan dan nada perli kepada PAS apabila melihat keputusan PRN Sarawak. Mereka ingat, PAS hanya parti pilihan raya. Kalah menang PAS di dalam pilihan raya bukan merupakan perkara asing kepada PAS.

Pada tahun 1978 di dalam pilihan raya negeri Kelantan, PAS hanya mendapat dua kerusi setelah memerintah selama 18 tahun. Musuh-musuh PAS membuat andaian PAS akan berkubur. Alhamdulillah, pada 1990 PAS memerintah kembali Kelantan hingga kini.

Begitu juga di Terengganu PAS pernah kalah di semua kerusi pada tahun 1978 setelah PAS dipecat daripada BN. Kebetulan Terengganu pula baru mendapat telaga minyak sehingga digelar Kuwait Malaysia.

Penganalisis politik menganggap PAS akan berkubur, tetapi alhamdulillah pada tahun 1999 PAS menang sehingga 2004, dan bangkit semula selepas kalah pada 2004 hingga kini.

Apalah sangat dengan kekalahan PAS di Sarawak. Semuanya tidak melemahkan daya juang PAS.

Banyak lagi perkara yang perlu dimuhasabah. Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan di Sarawak.  Insya Allah Sarawak buminya subur untuk dakwah.

Penduduknya berbudi pekerti dan berbahasa boleh menerima kedatangan PAS ke rumah mereka walaupun meraka bukan beragama Islam. Insya Allah, PAS akan mengatur langkah untuk kejayaan dakwah dan perjuangan politik PAS di Sarawak.

Kalau PAS parti pilihan raya, sudah lama PAS berkubur. Mereka yang hanya 'beriman' dengan pilihan raya semata-mata tidak tahan lama dengan PAS. Mereka yang beriman dengan fikrah perjuangan yang tulen akan terus mara bersama PAS, walaupun beribu-ribu kali tewas di dalam pilihan raya.

Mereka yakin apabila sampai waktunya perjuangan Islam akan menang, insya Allah.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
1 Syaaban 1437/ 8 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 8/5/2016

Share on Myspace