PRN Sarawak: Terima kasih kepada seluruh petugas PAS

HARAKAHDAILY | .

Saya mewakili saf kepimpinan PAS Pusat merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh petugas PAS yang telah bertungkus lumus bekerja siang dan malam tanpa mengenal erti penat dan lelah di sepanjang tempoh PRN Sarawak 2016 yang lalu.

Walaupun menyedari peluang untuk memenangi sebarang kerusi agak kecil, namun komitmen dan dedikasi luar biasa yang diberikan di sepanjang tempoh kempen amat mengagumkan.

Sesungguhnya Constantinople, Andalusia dan kota-kota besar lain tidak dibuka dalam masa sehari, bahkan melalui perjuangan yang panjang dengan segala kesulitan dan pengorbanan akhirnya berjaya mengibar megah bendera Islam.

Walaupun kita masih belum berjaya memenangi sebarang kerusi pada PRN Sarawak, namun dari sudut dakwah kita telah berjaya menyemai benih dakwah Islam kepada rakyat Sarawak merentas kaum dan geografi untuk menerima dakwah Islam melalui wadah politik Islam PAS.

Sambutan baik yang ditunjukkan oleh rakyat Sarawak menjanjikan masa depan dakwah yang sangat cerah untuk bumi Sarawak khasnya dan bumi Borneo amnya. 

Kepada seluruh petugas dan penyokong PAS, semoga firman Allah SWT ini  menjadi motivasi untuk kita meneruskan komitmen yang terbaik untuk Islam:

“Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman selain daripada orang-orang yang ada keuzuran dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar. (An Nisaa’: 95)

ISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
1 Syaaban 1437 / 8 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 8/5/2016

Share on Myspace