Tahniah BN, PAS komited bina Sarawak Sejahtera

HARAKAHDAILY | .

PAS Sarawak mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional yang memenangi 72 daripada 82 kerusi Dun sekali gus terus mendapat mandat menjadi Kerajaan di Sarawak. Tahniah juga kepada YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Adenan Satem yang telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak untuk penggal kedua.

PAS Sarawak juga ingin merakamkan takziah kepada keluarga kesemua mangsa nahas pesawat Airbus Helicopter AS350 yang terhempas di Triso, Sebuyau baru-baru ini. Semoga tabah dan sabar dalam menerima musibah yang berlaku.

Secara keseluruhannya, PAS Sarawak menerima dan bersikap positif dengan keputusan pilihan raya yang baru berlalu. Meskipun belum berjaya melahirkan Adun sulung, namun PAS berjaya menambah undi di Beting Maro dan Sebuyau selain telah berjaya menanam benih dan membina tapak di 7 kerusi Dun yang baru pertama kali ditandinginya.

PAS Sarawak juga ingin menyarankan beberapa teguran dan penambahbaikan kepada kerajaan negeri untuk diambil perhatian dalam pilihan raya-pilihan raya akan datang. Antaranya halangan dan sekatan imigresen yang tidak sewajarnya berlaku, politik wang di mana pengundi diberi hadiah atau duit selepas membuang undi, penyalahgunaan premis kerajaan sepanjang tempoh berkempen dan perlunya padang sama rata disediakan kepada semua parti-parti yang bertanding tanpa ada dwi-standard.

PAS Sarawak mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi yang memilih PAS, petugas parti yang bekerja bertungkus-lumus siang dan malam berkempen untuk memenangkan PAS, rakan media yang mesra PAS serta kesemua jentera yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

PAS Sarawak komited ke arah membina Sarawak Sejahtera sepertimana yang dinyatakan di dalam kandungan Tawaran Untukmu Sarawak. PAS akan menyokong segala inisiatif kerajaan jika ia membela kepentingan rakyat dan membantu mengangkat agenda kerajaan yang telus dan cekap (good governance). Sebaliknya PAS akan tegas menegur dan menasihati kerajaan dalam perkara-perkara yang dirasakan perlu selaras dengan sistem semak dan imbang yang diperjuangkan.

PAS Sarawak juga sebagai sebuah Gerakan Islam Untuk Semua akan terus melaksanakan program-program dakwah, pendidikan, kebajikan dan kemasyarakatan yang sesuai dengan masyarakat majmuk negeri Sarawak tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang. Kerjasama kerajaan negeri dalam merealisasikan hasrat ini adalah amatlah diharapkan.

PAS Sarawak mengucapkan selamat menunaikan janji kepada Barisan Nasional dalam memerintah Sarawak Bumi Kenyalang dalam 5 tahun mendatang. Selamat maju jaya.

Sekian, terima kasih.

Dikeluarkan Oleh:

Mukhtar Bin Suhaili
Setiausaha PAS Negeri Sarawak
Jurucakap Rasmi PAS untuk PRN Sarawak 2016
8 Mei 2016 | 30 Rejab 1437 - HARAKAHDAILY 8/5/2016

Share on Myspace