PAS akan bertanding PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

TEMERLOH: PAS akan bertanding dalam dua pilihan raya kecil (PRK) berikutan kematian dua ahli parlimen daripada BN dalam nahas helikopter di Sebuyau, Khamis lalu.
                          
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata dua kawasan parlimen tersebut ialah Sungai Besar di Selangor dan Kuala Kangsar di Perak.

Berucap dalam majlis perasmian Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Pahang di Kompleks Al-Makmur, Kerdau di sini, beliau berkata kekalahan calon PAS di Sungai Besar hanya 399 undi sahaja.
                              
"Manakala di Kuala Kangsar PAS hanya tewas 1,000 undi. Ini bermakna keputusan PRK nanti tidak seperti PRN Sarawak," katanya berseloroh.

Program yang menghimpunkan 4,000 jentera pilihan raya PAS seluruh Pahang itu dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.  

Turut berucap ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar.

Ahli Parlimen Sungai Besar yang Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Selain juruterbang, turut menaiki helikopter itu ialah suami dan pengawal peribadi Noriah, Asmuni Abdullah dan Ahmad Sobri Harun serta Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai. - HARAKAHDAILY 8/5/2016

Share on Myspace