PRK: Pakatan Harapan mula intai kerusi tradisi PAS

SYED AHMAD FADHLI | .

SEHINGGA kini, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum membuat pengumuman rasmi kekosongan kerusi Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak akibat kematian dua orang penyandangnya yang terlibat dalam nahas helikopter di Sarawak pada minggu lepas.

Tempoh matang Parlimen ialah tiga tahun, ia dikira mulai tarikh bermulanya sidang pertama selepas Pilihan Raya Umum berlangsung. Apabila genap tiga tahun, Pilihan Raya Kecil tidak perlu dilangsungkan lagi melainkan kekosongan tersebut boleh menggugat majoriti parti pemerintah.

Tarikh Ahli Parlimen mengangkat sumpah selepas PRU 13 berlangsung ialah 24 Jun 2013, maka tempoh matang tiga tahun ialah 24 Jun 2016. Secara tidak langsung, dapatlah kita fahami bahawa PRK akan berlangsung di dua kerusi Parlimen tersebut.

Mengikut rekod PRU ke-11 (tahun 2004), 12 (tahun 2008) dan 13 (tahun 2013) yang lalu, kedua-dua kerusi tersebut secara tradisinya ditandingi PAS menentang Umno. Menarik apabila diperhatikan trend keputusan di dua kerusi tersebut, majoriti Umno kian merosot.

Bagi kerusi Parlimen Sungai Besar, majoriti dimenangi Umno pada tahun 2004 ialah 7,349, kemudian merudum kepada 5,009 pada tahun 2008, dan terus merosot kepada hanya 399 pada tahun 2013.

Bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar pula, majoriti dimenangi Umno pada tahun 2004 ialah 5,557, kemudian merudum kepada 1,458 pada tahun 2008, dan terus merosot kepada hanya 1,082 pada tahun 2013.

Semalam, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat mengumumkan bahawa PAS akan bertanding di kedua-dua kerusi tersebut. Hari ini pula, Pakatan Harapan mengumumkan akan berbincang sama ada mereka akan ikut serta bertanding di kerusi tradisi PAS ini.

Umum mengetahui, PAN sememangnya berhasrat menjadi pesaing utama kepada PAS sepertimana yang sering diulang dalam siri ceramah jerayawara pimpinan PAN yang saban hari mengecam PAS.

Maka, hampir pasti PAN akan mengintai kerusi yang ditandingi PAS ini. PAN semestinya tidak mahu melihat PAS berjaya merampas kerusi ini daripada Umno kerana ia akan memberi signal peningkatan sokongan pengundi terhadap PAS.

Pimpinan PH khususnya DAP, PAN dan sebahagian PKR sering mendakwa PAS mesra Umno dan akan bergabung dengan Umno. Tetapi, hakikatnya PAS tetap melawan Umno cuma berbeza dari sudut pendekatan semasa PAS.

Jadi, seharusnya PH khususnya PAN tidak perlulah menjadi kumpulan pengacau di medan PRK itu nanti kerana apa yang akan terzahir kelak ialah rakyat akan melihat PAN bukannya nak lawan Umno tetapi hendak lawan PAS. – HARAKAHDAILY 9/5/2016

Share on Myspace