Isu ceroboh: PAS Perak kunjungi pengurusan kuil

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

IPOH: Insiden memecahkan patung di sebuah kuil turut mendapat perhatian PAS Perak yang berlaku 24 April lalu.

Kunjungan PAS Perak yang diwakili oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria bersama beberapa orang pimpinan telah bertemu dengan pihak pengurusan Kuil Sree Muneeswarar Amman Kovil, di Jalan Hospital, Ipoh, semalam.

Menurut Razman, pertemuan tersebut bagi mendapatkan penjelasan perkara yang berlaku serta menyatakan keprihatinan PAS Perak walaupun berlainan budaya dan agama.

Jelas beliau, Islam mengajar penganutnya untuk saling menghormati agama yang lain tanpa melakukan perbuatan menghina dan merosakkan kepercayaan lain.

Katanya, PAS Perak menyerahkan sepenuhnya kes tersebut untuk disiasat dan tindakan susulan agar ia tidak menimbulkan sentimen perkauman dalam masyarakat setempat.

"Kejadian yang berlaku ini tidak boleh jadikan krisis memecah belahkan perpaduan bangsa dalam negara.

"Insiden terpencil seumpama ini boleh diselesaikan dengan baik serta memberikan sepenuhnya kepada pihak berkaitan menjalankan siasatan dan tindakan lanjut.

"PAS sentiasa terbuka menghormati agama lain bahkan tiada dalam ajaran Islam untuk merosakkan rumah ibadah walaupun ketika perang apatah lagi dalam keadaan aman," ujar beliau.

Berdasarkan maklumat yang diberikan, remaja tersebut mempunyai masalah kesihatan mental dan masih menerima rawatan di hospital.

Turut sama dalam kunjungan tersebut, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak; Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib, Setiausaha Perhubungan PAS Perak; Ustaz Mohd Zawawi Abu Hasan,  Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Perak; Ustaz Saleh Said, Ketua Penerangan Ulamak PAS ; Ustaz Norazli Musa, Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Perak; Ustaz Mustafa Wahab , Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak; Ustaz Hafez Sabri dan AJK Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Perak; Appalasamy. – HARAKAHDAILY 10/5/2016

Share on Myspace