HORAS 600 antara strategi Selangor hadapi El-Nino

HARAKAHDAILY | .

Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Selangor masih mampu berdepan dengan masalah musim kemarau yang melampau berikutan kesan fenomena El-Nino yang telah melanda negara.

Walaupun pada ketika ini ada negeri lain yang terpaksa mencatu air tetapi Selangor masih mampu membekalkan sumber air mentah dan sehingga hari ini paras empangan utama masih di tahap yang baik melebihi 60%.

Antara faktor terbesar Selangor berjaya mengekalkan paras empangan ini adalah disebabkan adanya aktiviti Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) khususnya dari kolam HORAS 600 dan kolam takungan sekitarnya.

Di lembangan Sungai Selangor, HORAS 600 dan kolam takungan sekitar berjaya menghasilkan secara purata 800-1000  JLH. (Keupayaan kuantiti kolam ini dapat meminimumkan pelepasan air dari kedua-dua empangan iaitu di Empangan Sg Selangor dan Sungai Tinggi).

Pembangunan projek HORAS 600 dijalankan melalui beberapa pakej. Pakej 1 ialah pengorekkan kolam, pakej 2 ialah pengukuhan tebing dan pakej 3 ialah pembinaan rumah pam. Pakej 1 iaitu pengorekan kolam adalah pakej yang terpenting dan ianya pula di bahagikan kepada tiga fasa pengorekkan.

Fasa pertama telah siap 100% pada oktober 2015 sekaligus menjadi faktor terbesar dalam menangani fenomena el-nino dengan mengekalkan tahap takungan di empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi juga berjaya menampung keperluan air mentah untuk projek mitigasi 2 yang menyalurkan air terawat sebanyak 227JLH dari LRA SSP1, SSP3 dan Rasa ke daerah Kelang, Petaling dan Shah Alam.

Secara umumnya HORAS 600 telahpun berfungsi dan berperanan penting pada tika dan saat ini.

Fasa 2 pengorekan pula sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap pada akhir Jun 2016 serta disusuli dengan pakej pembinaan rumah pam yang dijangka siap pada Julai 2017.

Sementara itu fasa 3 pengorekan pula sedang berjalan dan dijangka siap pada disember 2017. Pakej 3 pengukuhan tebing sedang berjalan mengikut tahap kesediaan kolam.

Keseluruhan HORAS 600 akan siap sepenuhnya pada Disember 2017 dengan kapasiti pengeluaran melebihi 600 JLH.

HORAS 600 bukanlah sebuah loji rawatan air akan tetapi penyiapan HORAS 600 ini mampu dan telah pun mencapai objektif membekalkan air tambahan dan meningkatkan operasi loji SSP1, SSP3 dan Rasa seperti dirancangkan.

HORAS 600 yang dibina oleh kerajaan negeri ini juga adalah projek sulung berskala besar pertama di Malaysia iaitu projek perintis penakungan air mentah dari sumber air sungai yang telah menjadi contoh di negeri lain yang antaranya terpaksa mencatu air pada masa ini.

Dalam masa negeri lain sedang menghadapi kekurangan sumber air mentah dan paras empangan yang amat kritikal, Selangor berjaya membuktikan kepada negeri lain bahawa bekalan air mentah mencukupi dengan tiada catuan dibuat.

Perkembangan projek HORAS 600 telah dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh kerajaan negeri. Begitu juga ianya sering dibangkitkan di dalam sidang dewan dan dijawab oleh pihak kerajaan negeri sekali gus mendapat liputan media yang hadir.

Tohmahan yang mengatakan projek HORAS 600 senyap tanpa khabar berita dan tidak berfungsi adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.

ZAIDY ABDUL TALIB
Pengerusi Jawatankusa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani Negeri Selangor - HARAKAHDAILY 10/5/2016

Share on Myspace