Warga emas dapat manfaat takaful RM72 juta

ASLAMI M | .

KOTA BHARU: Sejak diwujudkan pada 2007 sehingga Mac lepas, Kifaalah Sdn Bhd telah membayar pampasan kepada 41,418 warga emas yang meninggal dunia.

Pengurus Besar Kifaalah Sdn Bhd Abdul Shakur Sharrie berkata manfaat skim Takaful Warga Emas yang dibayar itu berjumlah RM72 juta.

Katanya, warga emas yang berdaftar dengan skim berkenaan sehingga Mac lepas iaitu seramai 157,296 orang.

“Jumlah tersebut dianggarkan meliputi 80 peratus daripada keseluruhan warga emas di Kelantan,” katanya di sini.

Abdul Shakur juga berkata pihaknya mewujudkan kaunter khas di program-program anjuran kerajaan negeri di peringkat Dun bagi membolehkan warga emas mendaftar sebagai peserta.

Peserta kalangan warga emas yang berusia 60 hingga 75 tahun ditakafulkan kerajaan negeri membabitkan sebanyak RM74 setahun setiap seorang.

Manfaat diperoleh setiap peserta sebanyak RM1,500 di mana RM500 daripadanya dibayar pada hari kematian.

“Kami memastikan lebih ramai warga emas di Kelantan mendaftar dalam skim Takaful Kifaalah Warga Emas bagi membolehkan keluarga mereka mendapat manfaat apabila peserta meninggal dunia.

“Manfaat takaful diurus selia secara cepat dan efisien bagi mempastikan kebajikan rakyat terbela,” ujarnya.

Skim Takaful Kifaalah Warga Emas ialah skim takaful percuma yang ditawarkan kerajaan negeri melalui Kifaalah Sdn Bhd.

Ia dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri. Terbuka disertai seluruh rakyat Kelantan berusia 60 tahun dan ke atas. – HARAKAHDAILY 10/5/2016

Share on Myspace