Nelayan P. Pinang terancam sisa pepejal Pulau Burung

HARAKAHDAILY | .

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA) memandang serius tentang paras kolam takungan air leachate yang semakin kritikal di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal, Pulau Burung, Nibong Tebal.
 
Pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang,  Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  serta Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang perlu segera menyiasat perkara ini kerana air larut lesapan dari tapak pelupusan sampah lazimnya mengandungi ammonia, logam berat, bahan-bahan organik dan bahan pencemar lain yang berbahaya.
 
Jika situasi tersebut berlarutan, bukan sahaja kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di sini iaitu Hutan Simpan Byram terbabit diancam kemusnahan malah punca pendapatan nelayan akan turut terjejas, kesan daripada pencemaran badan air di sini.
 
Dalam tinjauan yang dibuat SAM bersama Rousli Ibrahim (ahli dan bekas Setiausaha PIFWA) ke lokasi didapati bahawa leachate dalam kolam  takungan tersebut  penuh dan sama paras dengan tebing ban. Disebabkan terlalu penuh maka ia melimpah dan mengalir ke kawasan hutan bakau dan parit JPS berdekatan. Secara tidak langsung limpahan tersebut turut mengalir ke.laut.
 
Selain berbuih, leachate tersebut juga kelihatan berwarna hitam dan berbau busuk. Kami tidak menolak kemungkinan  bahawa limpahan tersebut berpunca dari hujan lebat yang berlaku baru-baru ini.
 
SAM memandang serius perkara ini kerana sebahagian besar pokok bakau di kawasan Hutan Simpan Kekal berkenaan kelihatan mati berkemungkinan besar kerana leachate tersebut.
 
SAM khuatir jika masalah ini tidak ditangani dengan segera maka impak terhadap alam sekitar akan bertambah kronik.  Kontraktor yang dilantik oleh Kerajaan Negeri dan MPSP juga dilihat gagal dalam menjaga dan merawat leachate mengikut piawaian yang ditetapkan. Seterusnya ini menimbulkan keberkesanan penguatkuasaan dan pemantauan agensi-agensi bertanggungjawab.
 
Sehubungan itu, SAM menggesa agar Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang mengambil tindakan segera bagi menangani dan menyelesaikan masalah ini.
 
S.M.MOHAMED IDRIS
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (Friends of the Earth Malaysia) – HARAKAHDAILY 10/5/2016

Share on Myspace