Selamatkan Aleppo, Syria - NGO Asean

HARAKAHDAILY | .

PERTEMUAN beberapa NGO Asean pada 10 Mei 2016 di Kuala Lumpur telah merumuskan Pelan Tindakan Ramadhan untuk kempen menyelamatkan Aleppo, Syria.

Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan regim Basyar dan kelompok pemberontak yang menyerang bandar Aleppo dan juga bandar-yang lain di Syria  tanpa mengambilkira keselamatan rakyat awam yang tersepit dalam pertempuran antara pihak yang bertelagah.

Menyerang dengan roket dan pengeboman udara secara rambang memusnahkan seluruh bandar termasuk hospital, adalah jenayah perang yang terkutuk.

Kami mengambil perhatian sangat serius terhadap peperangan yang berlarutan sehingga 6 tahun dan mengakibatkan hampir 300,000 orang terbunuh termasuk kanak-kanak dan wanita.

Perkembangan terkini yang melibatkan serangan ke atas bandar seperti Aleppo dan Idlib  meruncingkan lagi keadaan kerana rakyat awam sering menjadi mangsa kepada serangan antara pelbagai pihak; tentera regim Basyar, ISIS, FSA, Nusra Front, Russia, Hizbullah.

Sebagai respon kepada keadaan Aleppo kini yang sangat kritikal, pertemuan sehari yang dianjur oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dengan kerjasama Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia  (Shura) itu, telah disertai oleh Ngo yang mewakili Malaysia, Thailand, Indonesia, Singapore , Myanmar, Filipina dan Kemboja.

Pertemuan ini merupakan mesyuarat tergempar Ngo Asean untuk membincang tindakan bersama sejak Aleppo menghadapi serangan udara paling ganas oleh regim Basyar yang telah mengakibatkan sebuah Hospital di bandar itu musnah dan lebih dari 300 orang terbunuh termasuk doktor.

Mengikut laporan dari pihak PBB sendiri, Aleppo telah menjadi bandar paling tidak selamat kerana dikuasai oleh tentera regim dan kelompok penentang Basyar, termasuk ISIS. Kini tidak ada kawasan yang selamat di Aleppo bagi seluruh penduduk yang maseh terbaki di bandar tersebut.

Masing-masing kelompok yang melancarkan serangan untuk menguasai bandar Aleppo telah mengakibat kesengsaraan yang sangat berat kepada penduduk awam kerana terputus makanan, bekalan ubat dan segala khidmat asas yang diperlukan.

Tindakan regim Basyar yang melancarkan serangan udara bertujuan memecahkan kubu pemberontak dibeberapa kawasan di bandar Aleppo telah secara langsung menhancurkan hampir keseluruhan bandar terbesar di Syria itu.

Keadaan Aleppo kini sangat kritikal kerana tidak ada kestabilan sama sekali sehingga seluruh kota itu lumpuh. Gencatan senjata yang dipelopori oleh US dan Russia nampaknya tidak berkesan walaupun persetujuan cuba dicapai untuk memanjangkan tempoh gencatan senjata , namun gagal kerana  tidak melibatkan beberapa kelompok yang lain seperti Nusra Front dan ISIS.

Perbincangan telah merumuskan beberapa agenda bertindak yang disepakati oleh para wakil Ngo yang hadhir yang diberi nama Pelan Bertindak Ramadhan.

Kesepakatan itu termasuk agenda berikut :

1. Menghantar Misi Kemanusiaan Asia ke Aleppo pada bulan Ramadhan ini.
2. Melancar pengumpulan dana kemanusiaan untuk Syria .
3. Mengeluarkan rayuan sedunia untuk menghentikan perang di Syria khususnya dan seluruh dunia amnya di bulan Ramadhan sebagai bulan keamanan.
4. Menganjurkan perhimpunan dan penyerahan memo protes di kedutaaan Syria.
5. Mobilisasi masyarakat awam untuk mengambil perhatian keatas isu Syria.
6. Mengeluarkan teks khutbah khas untuk menyedarkan masyarakat Islam diseluruh dunia mengenai isu Syria.
7. Menghantar surat khas kepada negara-negara luar yang terlibat dalam konflik di Syria seperti US dan Russia supaya menghentikan penglibatan ketenteraan dalam konflik yang berkaitan.
8. Menghantar memo khas kepada UN, OIC, EU dan ASEAN untuk segera bertindak menyelamatkan Syria dari kehancuran.

Perbincangan juga telah menubuhkan sebuah Koaliasi Kumpulan Bertindak Asia Untuk Kemanusiaan (Coallition of Asian Working Group for Humanity) bagi melaksanakan gerakerja lebih terkoordinasi bagi menangani pelbagai konflik kemanusiaan yang kini berlaku demi menegakkan keadilan dan keamanan dunia.

Mapim telah diputuskan menjadi Sekretariat kepada koaliasi ini dan akan menggerakkan pelbagai inisiatif untuk menangangi isu dan cabaran semasa yang sedang dihadapi oleh komuniti dunia.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) – HARAKAHDAILY 11/5/2016

Share on Myspace