Banjir: K'jaan Selangor salur RM134 juta kepada JPS

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor komited melaksanakan beberapa pelan bertindak menghadapi banjir kilat yang dilihat sedang dan akan berlaku di beberapa kawasan 'hotspot'.

Terdapat 83 kawasan Hotspot Banjir yang serius telah dikenalpasti daripada jumlah keseluruhan sebanyak 171 kawasan  yang dilaporkan pada tahun 2015.

Untuk tahun 2016 pula, terdapat 37 kawasan hotspot banjir yang serius daripada 40 kawasan hotspot yang dilaporkan berlaku sehingga kini.

Melihat kepada situasi ini, menurut Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Kerajaan Negeri Zaidy Abdul Talib, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM134 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menangani masalah banjir kilat.

Yang mana katanya, sejumlah RM60 juta diperuntukkan bagi tujuan pembangunan tebatan banjir daripada peruntukan pembangunan JPS manakala RM74 juta pula daripada peruntukan Caruman Parit bagi menaiktaraf sistem saliran dan kolam takungan.

Jelasnya, dengan peningkatan belanjawan pembangunan keseluruhan untuk JPS daripada RM47 juta pada tahun 2015 kepada RM80 juta pada tahun ini iaitu peningkatan  70.21 peratus, ia jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri amat serius untuk menangani masalah banjir kilat yang melanda negeri ini.

"Antara langkah proaktif yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri adalah dengan melantik sebanyak 84 syarikat perunding dan jurukur kejuruteraan yang telah pun menerima watikah lantikan bulan Mac lepas bagi Program Pembangunan Tebatan Banjir.

"Pelantikan ini bertujuan untuk penyediaan rekabentuk terperinci dan kerja ukur bagi keperluan 43 projek baru tebatan banjir yang akan mula dilaksanakan seawal pertengahan tahun ini," katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, anggaran keseluruhan kos pelaksanaan projek tebatan banjir ini adalah sebanyak RM399 juta yang merangkumi 43 projek baru di seluruh negeri Selangor.

Terdapat 37 projek sambungan tebatan banjir sedang dilaksanakan dengan anggaran kos keseluruhan RM121 juta yang melibatkan 13 kawasan hotspot banjir yang serius.

Selain itu, antara langkah yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah banjir kilat ini juga adalah dengan menjalankan sebanyak 16 operasi Ops Lumpur yang membabitkan 16 buah projek pembangunan yang sedang di dalam kerja tanah pada tahun 2015.

"Manakala pada tahun 2016 ini pula kerajaan negeri optimis untuk menjalankan sebanyak 58 operasi Ops Lumpur ini bagi memastikan kepatuhan pihak pemaju agar mengikut syarat pelan kerja tanah yang telah ditetapkan," jelas beliau. – HARAKAHDAILY 11/5/2016

Share on Myspace