Pasca PRN S’wak; belajarlah berpolitik dari kaum Cina

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

WALAUPUN politik negeri Sarawak amat berbeza dari dengan semenanjung dari sudut sosiopolitiknya, tetapi ia tidak banyak berbeza dari sudut sosioekonomi seterusnya eko-politik. Justeru, melalui persamaan yang ada, sedikit sebanyak ia boleh menjadi petunjuk tentang beberapa perkembangan nasional yang berlaku dalam negara kita hari ini.

Secara ringkasnya, saya mengira bahawa kemenangan PRN kali ini bukan milik BN, jauh sekali bukan milik pembangkang, tetapi ia adalah kemenangan buat kaum Cina. Sememangnya mereka adalah kaum yang handal dalam berpolitik.

Kaum Cina merupakan antara kaum terbesar di Sarawak. Selain itu, mereka menguasai kawasan bandar yang menjadi pusat kepada kegiatan ekonomi dan pentadbiran masyarakat seluruhnya. Jika dibandingkan dengan semenanjung, taburan sosioekonomi ini boleh dikira sekata dengan kebanyakan negeri di Semenanjung. Mana-mana negeripun, Cina yang menguasai bandar.

PRN kali ini menunjukkan angin perubahan telah melanda kemahuan masyarakat Cina. Mereka yang kebelakangan ini menyokong penuh DAP telah mula berbalik kepada kerajaan. Kerusi-kerusi yang dimenangi DAP sebelum ini berjaya dirampas oleh BN.

Sebenarnya ia bukan sekadar faktor isu penyelewengan yang digembar-gembur melibatkan pimpinan atasan DAP semata-mata. Kalau dikira penyelewengan, mustahil mereka kembali menyokong BN yang dua kali lima sahaja. Sebaliknya, ia boleh difahami melalui faktor-faktor berikut:

1. Kebimbangan terhadap kestabilan ekonomi negara.
Rata-rata kaum Cina adalah tauke-tauke besar. Pergolakan politik dan serangan tidak sihat yang dibuat parti pembangkang terutama DAP menyebabkan kelembapan ekonomi akibat kepercayaan pelabur terhadap masa depan negara. Ini menjejaskan perolehan tauke-tauke besar Cina. Sekiranya berlarutan, tidak mustahil mereka akan gulung tikar.

Lim Kit Siang, strategis DAP sebenarnya memahami hakikat ini. Kerana itulah dia mengambil sikap agresif dalam mendekati Mahathir. Sebelum ini juga cuba berbaik dengan Najib atas nama Save Malaysia. Tujuan sebenarnya adalah supaya sokongan Cina tauke-tauke besar yang tidak mahukan kegawatan, tidak berbalik ke arah kerajaan semula.

2. Demand orang-orang Cina.
Sejarah menunjukkan orang-orang cina tidak pernah setia dengan mana-mana parti sebelum ini. Sokongan mereka terhadap mana-mana parti bukan sokongan kosong. Agenda dan perancangan mereka sangat rapi. Kerana itulah, sehingga hari ini mereka mendapat keistimewaan tersendiri walaupun negara diperintah oleh parti yang kuat fahaman nasionalisme kemelayuannya.

Sekiranya diamati, awal abad ke-20 sebenarnya bukan kali pertama DAP berjaya meraih sokongan Cina. Cina telah menyokong DAP beberapa kali sebelum ini. BN menerusi MCA dan Gerakan juga turut sama mengalami pasang surut sokongan.

Politik orang-orang Cina tidak berteraskan agenda parti, sebaliknya di kawal oleh persatuan-persatuan dan NGO di antara mereka. NGO-NGO mereka seperti persatuan peniaga, persatuan pendidikan, kebajikan dan sebagainya sangat kuat mempengaruhi sokongan orang-orang Cina. NGO ini memiliki matlamat tersendiri walaupun kebanyakannya bukan untuk kuasa politik dan jawatan.

Jika dilihat trend di Sarawak, kemungkinan besar PRU14 nanti sokongan Cina terutama tauke-tauke besar akan beralih kepada kerajaan semula. Jika ditambah dengan faktor ketidakstabilan politik dalaman pembangkang, mungkin kaum Cina pertengahan juga akan berbalik ke arah sana.

3. Ketidakstabilan pembangkang.
Salah satu faktor kemerosotan sokongan Cina kepada pembangkang secara umum dalam PRN Sarawak lepas adalah kerana kekacauan dalaman PH sendiri. Orang-orang Cina buka mudah-mudah boleh dicucuk hidung. Mereka menilai penuh teliti siapa yang akan diundi.

Walaupun kerajaan yang ada tidak memuaskan hati, tetapi mereka tidak nampak DAP boleh menggantikan kerajaan sedia ada dengan lebih baik. Justeru adalah terlebih baik mereka kekalkan sahaja yang sedia ada kerana Cina pertengahan tidak terkesan secara langsung dengan masalah cara pentadbiran kerajaan.

4. Sentimen agama
Sentimen keagamaan masih menebal di kalangan orang Cina Malaysia. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan Cina Malaysia majoritinya masih berpegang kuat dengan ajaran budhha melebihi orang Cina dari tanah besar sendiri. Antara faktor Cina lebih berani bersama Umno sejak dahulu kerana melihat lemahnya Umno membawa agenda Islam berbanding PAS.

DAP pula, hampir kesemua penguasanya adalah penganut Kristian sedangkan majoriti Cina adalah penganut Budhha. DAP dilihat memiliki agenda tersendiri dalam membawa pengaruh Kristianisasi terhadap negara. Beberapa pimpinan utamanya memiliki hubungan yang amat rapat dengan gereja dan gerakan kristian antarabangsa.

Walaupun faktor ini tidaklah terlalu besar, tetapi ia tetap membawa kebimbangan sebahagian orang Cina terutama golongan veteran dan anak-anak muda yang berpegang pada agama.

Konklusinya, kejayaan kaum Cina ini adalah kerana perpaduan yang mereka miliki sangat kuat. Ia adalah perkara biasa bagi sesebuah kaum minoriti di mana-mana negara. Kaum Melayu pula walaupun majoriti, tetapi berpecah kepada berbagai fahaman dan agenda. Masing-masing bermusuh dan cuba menjatuhkan antara satu sama lain.

Pesanan kepada orang melayu, belajarlah berpolitik dari kaum Cina! – HARAKAHDAILY 11/5/2016

Share on Myspace