PAS kecam hukuman mati ke atas Motiur Rahman

HARAKAHDAILY | .

PAS KECAM HUKUMAN MATI YANG TELAH DIJATUHKAN KE ATAS AMIR JAMAAT-E-ISLAMI BANGLADESH, MAULANA MOTIUR RAHMAN NIZAMI

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam sekeras-kerasnya hukuman mati yang telah dijatuhkan ke atas Amir Jamaat-E-Islami Bangladesh, Maulana Motiur Rahman Nizami awal pagi tadi di Penjara Pusat Dhaka.

Maulana Motiur Rahman Nizami adalah antara pimpinan utama Jamaat-E-Islami Bangladesh yang dijatuhlkan hukuman mati atas tuduhan melakukan jenayah perang pada tahun 1971 ketika berlangsung perang menuntut kemerdekaan daripada Pakistan.

PAS melihat tindakan ini sebagai tindakan politik permusuhan dan balas dendam terhadap Jamaat-E-Islami Bangladesh dan pimpinannya.

PAS mendoakan Jamaat-E-Islami Bangladesh serta seluruh kepimpinan dan ahlinya untuk terus tabah memperjuangkan Islam melalui saluran damai demokrasi demi untuk kesejahteraan Bangladesh dan seluruh rakyatnya.

PAS juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Maulana Motiur Rahman Nizami atas hukuman yang telah dijatuhkan dan PAS juga mendoakan semoga Maulana Motiur Rahman Nizami dikurniakan syahid atas hukuman mati yang telah dikenakan ke atas beliau.

PAS juga mendesak supaya Perdana Menteri Bangladesh Syeikh Hasena Wazed dari Liga Awami Bangladesh untuk menghentikan tindakan kejam dan tidak bertamadun yang dikenakan ke atas Jamaat-E-Islami Bangladesh dan pimpinannya dalam usaha untuk mengekalkan kuasa.

BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN
 
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
4 Syaaban 1437 / 11 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 11/5/2016

Share on Myspace