Aktivis Umno tubuh badan Islam untuk sekat PAS

HARAKAHDAILY | .

AKTIVIS UMNO TUBUHKAN BADAN ISLAM UNTUK SEKAT PERKEMBANGAN PAS (11 MEI 1952)

PADA hari ini dalam tahun 1952, aktivis-aktivis Bahagian Agama Umno telah menaja penubuhan sebuah parti Islam yang baru di Selangor dalam rangka untuk membendung pengaruh PAS di Lembah Klang.

Orang Kaya Haji Pateh Akhir bin Dato' Penggawa Mohd Shah yang pada masa ini adalah Ketua Pejabat Agama Islam Selangor yang juga aktivis Bahagian Agama Umno telah memainkan peranan utama dalam usaha ini.

Bahagian Agama Umno merancang untuk mewujudkan sebuah badan agama yang dikuasai Umno setelah gagal menguasai PAS yang ditubuhkan oleh para ulama dalam Persidangan Alim Ulamak Malaya anjuran Umno pada 23 Ogos 1951.

Sejak PAS mengadakan persidangannya di Bagan Tuan Kechil pada 24 November 1951, PAS mulai berkembang terutama  setelah PAS membentuk hubungan dengan Persatuan Ulamak Kedah (PUK) pada 2 Februari 1952, diikuti oleh penubuhan PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang pada 9 Mac 1952.

Apabila Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 3 April 1952 memutuskan supaya PAS segera menubuhkan cawangan-cawangan di seluruh Malaya sebelum 31 Mei 1952, PAS telah berjaya menubuhkan PAS Cawangan Bukit Mertajam pada 20 April 1952 dan PAS Cawangan Perak di Kuala Kangsar pada 26 April 1952. Cawangan PAS kelima di Perlis telah ditubuhkan pada 8 Mei 1952.

Perkembangan pesat PAS ini telah membimbangkan Umno terutama di Kuala Lumpur kerana di sana terdapat beberapa tokoh agama Umno yang aktif bersama PAS. Antaranya termasuklah Faqih Haji Mohd Nor Mohd Zain (Naib Yang Dipertua Agung PAS), Tuan Guru Haji Mohd Nor Mahyudin (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS), Ustaz Abdul Wahab Mohd Nor (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS) dan Haji Mas'ud Hayati, seorang aktivis politik kiri. Untuk menyekat perkembangan ini, Haji Pateh Akhir telah menaja satu perjumpaan pada 11 Mei 1952 untuk menubuhkan sebuah parti Islam yang baru, dinamakan sebagai Pertubuhan Kebajikan Islam Selangor.

Walau bagaimanapun, dalam pertemuan pada 11 Mei 1952 ini, seorang wakil umat Islam, Raja Yaakub telah membangkitkan isu perpecahan umat Islam dan mencadangkan supaya pertubuhan kebajikan Islam ini bergabung dengan PAS dan membentuk PAS Cawangan Selangor.

Setelah dibahas panjang, usul ini telah ditolak kerana penganjur bermaksud untuk menyekat pengaruh PAS.

Ketika mengulas penubuhan badan Islam yang baru ini, Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan mengatakan bahawa ia ditubuhkan dengan tujuan menyekat pengaruh PAS dari berkembang.

Walaupun Umno berusaha menyekat pengaruh PAS dari berkembang di Lembah Kelang, pada 13 Julai 1952, Faqih Mohd Nor telah menganjurkan satu pertemuan umat Islam di Kuala Lumpur dan berjaya menubuhkan PAS Cawangan Kuala Lumpur dengan diketuai oleh Haji Mas'ud Hayati.

Bahkan, usaha Umno ini terus gagal apabila PAS berjaya menambahkan cawangannya di Kuala Lumpur dengan menubuhkan PAS Cawangan Sentul dan PAS Cawangan Sungai Penchala sebelum berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
11 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 11/5/2016

Share on Myspace