Kekalkan kenaikan gaji minimum, turunkan GST

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyeru agar Kerajaan terus berpegang pada janjinya untuk melaksanakan serta menaikkan paras gaji minimum yang dipersetujui bermula 1 Julai 2016 iaitu daripada RM900 kepada RM1,000 untuk pekerja-pekerja di Semenanjung Malaysia serta daripada RM800 kepada RM920 untuk pekerja-pekerja di Sarawak dan Sabah.

Kenaikan tersebut adalah wajar dilaksanakan memandangkan keadaan ekonomi semasa yang tidak mesra pengguna dan rakyat yang dihimpit dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup.

Walau ada yang mendesak supaya Kerajaan mengkaji semula kenaikan tersebut atau menangguhkannya namun DPPM berpendapat kenaikan tersebut adalah wajar berdasarkan keadaan ekonomi semasa.

Saranan Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (MEF) supaya di tangguhkan dahulu kenaikan tersebut agar tidak berlaku pemberhentian pekerja dalam jumlah yang ramai adalah tidak wajar.

Dengan pelbagai insentif yang diwujudkan Kerajaan kepada industri-industri di dalam negara terutamanya perindustrian kecil dan sederhana (PKS) ia dirasakan dapat membantu PKS di dalam negara dan juga pelbagai industri lain untuk lebih berdaya saing dalam pasaran ekonomi dunia era globalisasi dekad ini.

DPPM juga berpendapat adalah tidak wajar alasan akan terjadi pemberhentian sekitar 30,000 orang pekerja akan terjadi jika berlaku kenaikan gaji tersebut.

Sepatutnya pihak MEF dan Kerajaan terutamanya Kementerian Sumber Manusia sudah menyelesaikan perkara berbangkit dan bukannya membangkitkan perkara tersebut sekarang terutamanya dalam usaha menangguhkan kenaikan tersebut.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia,  Datuk Seri Ismail Abd Mutalib di Dewan Negara baru-baru ini, Kementerian tidak menerima apa-apa laporan mengenai jumlah besar pemberhentian tersebut dan mana-mana majikan perlu memberi notis sekurang-kurangnya 30 hari sebelum pekerja  diberhentikan kepada Kementerian.

Jadi seharusnya tiada lagi alasan kepada pihak majikan terutamanya di bawah MEF dalam melaksanakan skim gaji baru tersebut.

Perkara-perkara teras sepatutnya sudah diselesaikan dahulu dan disediakan mekanisme samada oleh pihak MEF mahupun Kerajaan terutamanya Kementerian Sumber Manusia dalam membantu pihak-pihak yang terbabit khususnya industri-industri yang terlibat supaya tidak timbul masalah apabila skim gaji baru ini dilaksanakan kelak.

DPPM juga berpendapat sekiranya Kerajaan tetap berkeras mahu mengenakan GST dan mudaratnya kepada rakyat dan negara, sayugialah sekiranya Kerajaan dapat mengurangkan kadarnya walaupun hanya sekitar 1% atau 2%.

Ini kerana cukai tersebut dikenakan kepada semua lapisan rakyat tidak kira miskin atau kaya namun yang benar-benar terkesan ialah rakyat yang berpendapatan rendah dan dikategorikan sebagai miskin yang mana masih banyak keperluan harian yang dikenakan GST.

Begitu juga kaitan GST dan kenaikan gaji minimum yang mana teras rakyat yang terkesan akibat kedua-duanya adalah yang berpendapatan rendah serta purata gaji sekitar RM3,000 ke bawah untuk sesebuah keluarga.

Dengan tahap gaji yang rendah serta kadar cukai yang membebankan ditambah dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu sekarang, Kerajaan harus sedar dan mempertimbangkan kewajaran sesuatu perkara sebelum melaksanakannya.

Jangan kerana ingin memenuhkan kantung negara, negara terabai dan rakyat teraniaya.

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 12/5/2016

Share on Myspace