PRK Sg Besar, K Kangsar: Jangan beri tongkat kepada BN

HARAKAHDAILY | .

PAS akan bertempur habis-habisan terhadap Umno BN pada Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Kedua-dua kerusi ini ialah kerusi tradisi PAS, dan oleh kerana itu, PAS telah tegaskan bahawa akan meneruskan tradisi dengan meletakkan calon di kedua-dua Parlimen ini.

Fokus blok pembangkang ialah menumbangkan BN. Kalau ini terus menjadi matlamat penyertaan dalam PRK ini, maka sewajarnya semua pihak berusaha agar BN dapat dikalahkan.

Dengan demikian, sebarang tindakan dari mana-mana parti pembangkang yang meletakkan calon, maka ini bermakna mereka memberi tongkat kepada BN.

Sesungguhnya, PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini bukan medan nak tunjuk hebat hingga yang kalah jadi abu menang jadi arang melainkan ada yang memang bercita-cita sedemikian.

Komitmen PAS dalam tindakannya terus menentang BN di Sarawak dan juga pada kedua-dua PRK akan datang adalah bukti paling kukuh bahawa tuduhan PAS hendak bergabung dengan Umno BN adalah fitnah semata-mata. Fitnah itu berlegaran sehingga hari ini dan dipercayai sengaja disebar bagi memecahkan PAS dan membenarkan tindakan menubuhkan parti baru.

Sehubungan dengan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan diadakan dalam waktu terdekat, diharapkan tiada parti pembangkang lain yang meletakkan calon sekadar untuk menguji sokongan kerana tindakan demikian tidak lebih hanya memberi peluang besar bagi BN memenangi PRK ini.

Adakah ada di kalangan pembangkang yang ingin terus melihat bagaimana rakyat terpaksa menelan kata-kata seperti “GST diterima rakyat”, “Rakyat percaya tiada salah laku pada derma RM2.6 bilion”, “BN sememangnya menjaga rakyat”, “Rakyat percaya PM tidak terlibat dengan 1MDB”, “BN kerajaan yang bersih” dan sebagainya sekiranya BN memenangi PRK ini seperti yang terjadi di Sarawak?

Pemimpin blok pembangkang perlu sedar pertembungan sama blok pembangkang hanya akan membenarkan bidalan "yang kalah jadi abu, menang jadi arang.”

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS - HARAKAHDAILY 12/5/2016

Share on Myspace