PAS bincang hukum tahaluf dengan bukan Islam

HARAKAHDAILY | .

PAS BINCANG HUKUM TAHALUF DENGAN BUKAN ISLAM KERANA HUBUNGAN PAS DENGAN DAP (12 MEI 1990)

PADA hari ini dalam tahun 1990, Jawatankuasa Khas PAS untuk mengkaji hukum tahaluf dengan bukan Islam telah mengadakan perbincangan (muzakarah) untuk menentukan hubungan politik atau tahaluf siasi PAS dengan DAP.

Jawatankuasa Pengkaji Tahaluf Siasi yang dipengerusikan oleh Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri ini turut dianggotai oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Azizan Abdul Razak, Ustaz Harun Taib, Ustaz Mohd Akhir Yaakub dan Ustaz Ahmad Zaki Ibrahim. Jawatankuasa ini ditubuhkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS untuk mengkaji dengan teliti perkara tersebut.

Isu tahaluf dengan bukan Islam telah timbul ekoran pendirian PAS untuk membentuk kerjasama dengan serpihan Umno, Semangat 46, dan juga serpihan PAS, Berjasa dan Hamim melalui kerjasama PAS-APU sejak April 1989.

Ketika proses pembentukan kerjasama ini sedang berjalan, Semangat 46 pada 9 Disember 1989 telah mengumumkan kerjasama mereka dengan DAP yang menyebabkan timbul polemik politik yang baru, bahawa PAS mempunyai hubungan politik tidak langsung dengan DAP.

Keadaan ini memaksa Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 17 Februari 1990 untuk menganjurkan muzakarah Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat berkait isu hubungan PAS-DAP ini pada 19-20 Mac 1990.

Satu kertas akan dibentangkan bersama oleh ahli-ahli Majlis Syura Ulamak PAS iaitu Ustaz Hassan Shukri, Ustaz Azizan Abdul Razak, Ustaz Harun Taib, Ustaz Idris Omar dan Ustaz Mohd Akhir Yaakub.

Muzakarah ini walau bagaimanapun gagal dilaksanakan kerana berlakunya Pilihan Raya Kecil Dun Pantai Merdeka pada 24 Mac 1990.

Kegagalan mengadakan muzakarah ini, telah menyebabkan Jawatankuasa Khas Pengkaji Tahaluf Siasi dibentuk untuk menentukan pendirian PAS.

Pendirian asal PAS adalah menolak kerjasama atau dikaitkan dengan DAP termasuk dalam kerjasama dengan APU, tetapi Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mempertegaskan bahawa kerjasama dengan APU diteruskan.

Ekoran konflik kerjasama Semangat 46-DAP dan PAS-APU ini, maka Jawatankuasa Khas Pengkaji Tahaluf Siasi telah mengadakan muzakarah pada 12 Mei 1990 di mana beberapa kertas kerja telah dibentangkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Mohd Akhir Yaakub, Ustaz Azizan Abdul Razak dan Ustaz Ahmad Zaki Ibrahim, sebelum dibuat komentar oleh Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Harun Taib.

Seluruh perbincangan dan resolusi muzakarah ini kemudiannya telah dikemukakan secara bertulis kepada Majlis Syura Ulamak PAS oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas, Ustaz Hassan Shukri.

Di antara rumusan penting tentang hukum mengadakan tahaluf siasi dengan orang bukan Islam, termasuk DAP ialah:

I. PAS diharuskan bekerjasama dengan mana-mana orang bukan Islam dalam mempertahankan kebenaran, menolong orang-orang yang dianiaya, menjatuhkan sistem yang zalim dan mewujudkan keamanan dalam negara;

II. Tahaluf PAS dalam pilihan raya dengan bukan Islam dibolehkan dengan syarat berikut:
a. Orang bukan Islam tidak diberi hak membuat dasar,
b. PAS tidak boleh bertolak ansur dalam soal aqidah dan dasar,
c. PAS diberi peluang untuk menerangkan tentang Islam dan pemerintahan Islam,
d. Mereka (bukan Islam) akan menyokong calon PAS, dan
e. Kerjasama tidak boleh menimbulkan perpecahan dalaman PAS; serta

III. Tahaluf tidak langsung (halifulhalif) juga diharuskan bagi menjadikan mereka tidak bermusuhan dengan PAS dan membolehkan PAS memusatkan gerak kerja kepada musuh yang sama.

Ketika Laporan Jawatankuasa Khas Pengkaji Tahaluf Siasi ini dikemukakan kepada Majlis Syura Ulamak PAS, ia telah diterima sebagai dasar kerjasama PAS dengan tambahan syarat yang dibuat oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa sebarang kumpulan atau parti politik yang tidak bersedia menerima penubuhan negara Islam tidak boleh diterima sebagai rakan tahaluf sama ada halif atau halifulhalif.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
12 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 12/5/2016

Share on Myspace