TG Abdul Hadi khatam tafsir al-Quran kali kedua

HARAKAHDAILY | .

Saya agak terkilan kerana tidak dapat untuk menghadiri kuliah pagi Jumaat oleh ayahanda Tuan Guru pada pagi esok kerana terikat dengan program-program di luar Terengganu. Walaupun sebelum ini banyak juga yang saya ketinggalan akan tetapi kuliah pada esok pagi sangat istimewa berbanding yang lain.

Ayahanda Tuan Guru akan khatam kuliah tafsirnya setelah 20 tahun berlalu. Ini adalah kali kedua selepas khatam pada kali pertama pada tahun 1996. Semasa khatam kali pertama saya masih lagi belajar di luar negara.

Majlis ilmu di Masjid Rusila bermula semenjak daripada moyang saya, almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman yang membuka pondok setelah kembali menuntut ilmu dari Pattani. Setelah itu ianya diteruskan oleh anaknya almarhum Tuan Guru Haji Awang Muhammad iaitu ayah kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi.

Pada tahun 1975  datuk saya meninggal dunia dan majlis ilmu ini diteruskan oleh ayahanda Tuan Guru sekembalinya dari Madinah dan Mesir pada tahun 1976 sehinggalah sekarang.  (insya Allah saya akan menulis sejarah Masjid Rusila selepas ini)

Ayahanda Tuan Guru sangat istiqamah dengan kuliahnya dan tidak pernah meninggalkannya kecuali jika sekiranya ada tugas-tugas penting di luar negara. Hatta ketika pembentangan bajet di parlimen yang kebiasaannya dibuat pada hari Jumaat; beliau tidak menghadirinya kerana mengutamakan kuliah pagi Jumaatnya. Saya berfikir barang kali dalam benaknya; lebih baik menyampaikan ilmu kepada orang kampung daripada hanya mendengar pembentangan daripada pemerintah. Walaupun begitu beliau mengikutinya secara live dan membuat catatan untuk sesi perbahasan berikutnya.

Tanggal 6 Sya'ban 1437 bersamaan 13 Mei 2016 akan menjadi kenangan yang sangat indah kepada sesiapa yang mengikuti kuliah tafsirnya. Pada pengetahuan saya individu yang paling lama menuntut dan masih lagi hidup ialah Pak De Mud dari Kampung Ru Dua. Beliau menadah kitab-kitab di Masjid Rusila sejak daripada zaman moyang saya almarhum Tuan Guru Haj Abdul Rahman lagi. Barang kali umurnya sekarang sudah melebihi 100 tahun.

Dua kali khatam selama 40 tahun merupakan satu perjalanan yang panjang akan tetapi ianya sangat singkat bagi sesiapa yang menghargai masanya. Mudah-mudahan Allah menerima amalan ayahanda dan memberikan kekuatan kepadanya untuk terus menyampaikan ilmu kepada masyarakat dan diberikan kekuatan untuk mendepani cabaran-cabaran mendatang.

Doakan untuk saya menyiapkan himpunan lengkap tafsirnya nanti, insya Allah.

Muhammad Khalil Abdul Hadi
5 Sya'ban 1437 / 12 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 12/5/2016

Share on Myspace