5 soalan buat Menteri Kewangan

HARAKAHDAILY | .

Wall Street Journal terus meneruskan pendedahan mereka terhadap duit 1MDB yang hilang. Terbaru, media ini mendedahkan bahawa para penyiasat mempercayai sekurang-kurangnya US$50 juta duit 1MDB telah digunakan oleh anak tirinya Riza Aziz untuk pembelian hartanah di New York dan Los Angeles.

Soalan pertama: Bilakah Menteri Kewangan dan keluarganya akan menyaman WSJ?

Dalam kemelut IPIC-1MDB, 1MDB telah ingkar membayar faedah sebanyak tiga kali dan IPIC telah membayarnya. Hasilnya, IPIC kini menuntut hutang sebanyak US$1.2 bilion bersama faedah daripada 1MDB dan kerajaan Malaysia sebagai ganti rugi.

Soalan kedua: Sekiranya kemelut IPIC-1MDB ini tidak dapat diselesaikan, apakah kerajaan Malaysia boleh mengetepikan tuntutan IPIC kerana Kementerian Kewangan yang diterajui Menteri Kewangan telah bersetuju menjamin ganti rugi kepada IPIC berdasarkan perjanjian 1MDB dan IPIC pada Mei tahun lalu?

Semalam, Gabenor Bank Negara yang baru Muhammad Ibrahim pula memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia mampu menyelesaikan hutang yang ditanggung oleh 1MDB.

Soalan ketiga: Dari manakah sumber dana akan datang untuk membayar hutang yang dicipta 1MDB?

Datuk Seri Najib Razak pada temu bual eksklusif di saluran TV1 RTM mengakui 1MDB pincang.

Soalan keempat: Apakah Datuk Seri Najib sedia mengambil tanggungjawab penuh dan mengakui lalai dalam menjalankan tugas dalam kegagalan 1MDB yang memalukan rakyat dan negara dengan meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan?

Soalan kelima: Apakah selepas ini saudara Arul Kanda pula akan menjadi mangsa yang dipersalahkan kerana gagal menyelesaikan kemelut 1MDB-IPIC?

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
5 Syaaban 1437 / 12 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 12/5/2016

Share on Myspace