Pasti Panchor bermula di rumah Pak Nik Lah

Salmah Mat Husain|Foto: Rizal Tahir | .

KOTA BHARU: Di Kelantan pendidikan awal kanak-kanak bermula dengan Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (Taski) yang diubah suai daripada model yang dilaksanakan Abim.

Ia dikenali sebagai pusat tarbiah anak-anak Islam (Putra Islam) bermula pada 1984. Sejak tempoh itu model pendidikan Islam di peringkat pra perssekolahan mulai berkembang.

Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al Arsyadi Panchor, Pengkalan Chepa antara yang terawal beroperasi di Kelantan iaitu pada 1987.

Kini hampir mencecah usia 30 tahun. Bangunannya mula dibina pada 1987 dan siap sepenuhnya pada 1989.

Pengerusi Majlis Guru Pasti (MGP) Pengkalan Chepa, Rohani Awang Lah berkata sebelum itu kelas Pasti terbabit beroperasi di rumah bekas anggota Parlimen Pengkalan Chepa Allahyarham Nik Abdullah Arshad.

“Pasti Al Arsyadi antara yang terbesar di Kelantan, mempunyai bangunan dua tingkat. Sekarang mempunyai lapan kelas bagi mendidik anak-anak Pasti berusia empat hingga enam tahun,” katanya di sini.

Kehebatannya sehingga menggondol banyak hadiah di peringkat negeri dan Malaysia. Maka tidak hairanlah Pasti itu dikenali di Kelantan.

Rohani berkata Pasti berkenaan sekarang mempunyai 250 pelajar. Manakala tenaga pengajarnya pula seramai enam orang.

“Mereka berbakti sejak sekian lama sehingga ada mencecah 30 tahun berkhidmat di sini,” ujarnya. -  HARAKAHDAILY 12/5/2016

Share on Myspace