PAS Selangor tetap bertanding PRK Sungai Besar

HARAKAHDAILY | .

Beberapa pihak mengajak PAS kembali ke meja rundingan dan ada juga yang mengajak kembali ke Pakatan Harapan.

PAS Selangor ingin menegaskan beberapa perkara:

1. PAS tidak akan kembali ke Pakatan Harapan kerana PAS tidak pernah berada di dalam Pakatan Harapan. PAS masih berada di dalam Pakatan Rakyat dan masih bertahaluf siyasi bersama PKR.

2. PAS Selangor melihat keikhlasan pada tindakan, bukan sekadar ucapan politik dan retorik. Maka, sekiranya pelawaan rundingan tersebut ikhlas, maka pihak-pihak tersebut perlu membuktikannya.

Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar akan mendedahkan lawan dan kawan PAS. PRK ini akan meletakkan batu asas pertandingan di dalam PRU14.

Sikap DAP terhadap Melayu dan Islam akan terlihat dan kawan serta lawan di dalam PKR juga akan zahir.

Parlimen Sungai Besar adalah kerusi PAS. Di sini, PAS telah berdepan dengan Barisan Nasional sejak berdekad lamanya.

PAS Sungai Besar dengan kekuatan 40 cawangannya disertai dengan kekuatan jentera dari seluruh negeri telah bersedia untuk menumbangkan Barisan Nasional.

Walau sesiapa pun meletakkan calon melawan PAS, PAS Selangor akan terus mara.  

MOHD PRASAD HANIF
Ketua Penerangan PAS Selangor - HARAKAHDAILY 12/5/2016

Share on Myspace