Pengambilan pekerja asing, rakyat mesti diutamakan

HARAKAHDAILY | .

PAS masih khuatir dengan keputusan Kabinet untuk menarik balik arahan pembekuan pengambilan pekerja asing terhadap empat sektor iaitu pembinaan, perkilangan, perladangan dan pembuatan perabot seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam.

Sekalipun wujud keperluan untuk mengambil 1.95 juta pekerja asing untuk sektor pembinaan menjelang 2020 seperti yang dianggarkan oleh Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) dan lebih-lebih lagi dalam keadaan 300 hingga 400 pekerja asing pulang ke negara masing-masing setiap bulan dalam tempoh suku pertama tahun ini berikutan kejatuhan nilai Ringgit seperti yang dinyatakan oleh Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB), namun keupayaan Kerajaan untuk mengurus dan mengawal sejumlah 6.7 juta orang warga asing sedia ada di negara ini secara berkesan adalah sangat meragukan.

Sedangkan, telah diakui bahawa kemasukan dan keberadaan ramai warga asing di telah menjejaskan rakyat negara ini pada 3 aspek utama;

(i) peluang pekerjaan,
(ii) keselamatan dan
(iii) kesihatan.

Kerajaan sepatutnya melihat kepentingan rakyat ini sebagai keutamaan dalam pengambilan pekerja asing di samping keperluan terhadap golongan ini bagi memajukan industri-industri tertentu di negara ini.

Kegagalan atau ketidakberkesanan program-program pemutihan seperti Program 6P dan Program Rehiring dalam mencapai objektifnya menjadi bukti yang jelas bahawa Kerajaan tidak berupaya untuk menyelia warga asing di negara ini.

Pengambilan yang bakal dibuat nanti dikhuatiri akan lebih menjejaskan kepentingan rakyat di negara ini.

Kerajaan juga sepatutnya menetapkan nisbah antara pekerja asing dan pekerja tempatan dalam sesuatu sektor bagi mengelakkan monopoli pekerja asing di negara ini. Melalui penetapan nisbah seumpama ini akan memastikan majikan tidak hanya akan menggaji pekerja asing dan ia juga dapat meningkatkan keberkesanan pelaksanaan gaji minimum.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 13/5/2016

Share on Myspace